Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita sebanyak 75 kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan barangan di negeri ini menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan di kawasan sempadan.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, hasil siasatan mendapati kebanyakan individu yang terlibat menggunakan kenderaan persendirian dan bergerak secara individu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Antara kereta yang digunakan untuk aktiviti tersebut adalah kebanyakannya kereta jenis sedan termasuk Waja, Wira dan Iswara,”katanya.
“Kebanyakan kes ini berlaku di lokasi hotspot di sempadan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026, di sini, hari ini.
Menurut beliau terdapat juga taktik tertentu digunakan bagi menyembunyikan barangan yang diseludup termasuk melakukan pengubahsuaian pada bahagian kenderaan seperti mengubahsuai tangki atau menambah ruang simpanan di bonet atau di bawah kerusi belakang.
“Daripada siasatan yang dijalankan, kita dapati ada kenderaan yang diubah suai dengan membesarkan ruang tertentu untuk membolehkan lebih banyak barangan disembunyikan.
“Ada juga yang melakukan tambahan ruang pada bonet atau di bawah kerusi belakang bagi mengelakkan kegiatan tersebut dikesan.
“Kebanyakan mereka menggunakan kenderaan sendiri yang diubah suai untuk mengisi petrol sebelum membawanya ke stor haram atau lokasi transit di kawasan berhampiran sempadan,”katanya.
Jelasnya, sepanjang tempoh Januari hingga kini, pihaknya merekodkan sebanyak 46 tangkapan berkaitan kes penyeludupan petrol RON95 di negeri ini.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa mempertingkatkan pemantauan di kawasan sempadan melalui rondaan, risikan dan operasi pemantauan yang dijalankan setiap hari termasuk pada musim cuti perayaan.
Menurutnya, pemeriksaan tetap diteruskan seperti biasa sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras selain menjamin bekalan barangan keperluan asas mencukupi.
“Kita menjalankan pemantauan setiap hari termasuk pada hari cuti. Sepanjang cuti Aidilfitri, kita juga membuka bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak kementerian,” katanya.
IMedikel TV






