Home Luar Negara REZA PAHLAVI TEGASKAN SEDIA PIMPIN IRAN

REZA PAHLAVI TEGASKAN SEDIA PIMPIN IRAN

PARIS: Anak lelaki Shah terakhir Iran yang hidup dalam buangan, Reza Pahlavi, bersedia memimpin proses peralihan ‘sebaik sahaja Republik Islam tumbang’.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, dalam mesej di saluran media sosialnya, Pahlavi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) berkata, beliau sudah berusaha memilih individu di dalam dan di luar Iran untuk berkhidmat dalam apa yang digelar sebagai ‘Sistem Peralihan’.

Difahamkan, beliau mengetuai salah satu daripada beberapa gerakan pembangkang yang berpangkalan di luar Iran.

Pengaruhnya meningkat selepas protes Januari terhadap sistem ulama dengan sebahagian penunjuk perasaan menyeru supaya monarki dikembalikan.

Pemimpin tertinggi Iran yang lama memerintah, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh pada 28 Februari dalam serangan udara AS dan Israel.

Selepas dua minggu perang, sistem ulama itu masih kekal walaupun penggantinya, anaknya Mojtaba Khamenei, belum membuat kemunculan secara terbuka.

Dalam pada itu, Pahlavi berkata, Saeed Ghasseminejad, penasihat kanan Iran dan ekonomi kewangan di badan pemikir berpangkalan di AS, Yayasan Pertahanan Demokrasi (FDD), mengetuai proses memilih anggota badan peralihan itu.

“Individu berkebolehan di dalam dan di luar negara dikenal pasti serta dinilai untuk memimpin pelbagai bahagian Sistem Peralihan.

“Sistem Peralihan di bawah kepimpinan saya akan bersedia mengambil alih pentadbiran negara sebaik sahaja Republik Islam tumbang dan dalam tempoh paling singkat mewujudkan ketenteraman, keselamatan, kebebasan serta syarat bagi kemakmuran Iran,” katanya.

Perhimpunan besar promonarki diadakan pada Februari di Munich dan beberapa bandar di Amerika Utara sebagai tanda sokongan terhadapnya.

Namun, beliau masih gagal mendapat pengiktirafan daripada Presiden AS, Donald Trump, yang tidak pernah secara rasmi bertemu dengan Pahlavi dan berulang kali menyatakan keraguan terhadap keupayaannya memimpin Iran.

“Mereka bercakap tentang anak lelaki Shah, mereka bercakap tentang orang lain, tetapi dia sudah tidak berada di sana (Iran) selama bertahun-tahun,” kata Trump minggu ini.

Pahlavi sedang menjalani latihan tentera udara di AS ketika bapanya, Mohammad Reza Pahlavi, digulingkan dan beliau tidak pernah kembali ke Iran. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here