Oleh: Bazli Razak@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuktikan kecemerlangan mahasiswa apabila tujuh wakilnya termasuk satu pasukan berjaya melangkah ke peringkat akhir Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kejayaan itu menjadi bukti bahawa mahasiswa universiti bukan sahaja unggul dalam akademik, malah menyerlah dalam kepimpinan, kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah.
“Anugerah berprestij itu menjadi platform pengiktirafan kepada mahasiswa dalam pelbagai bidang seperti kepimpinan, kesukarelawanan, perpaduan, kelestarian, kesukanan, kesenian dan sinergi organisasi dengan penyertaan ribuan pelajar institusi pengajian tinggi awam serta swasta seluruh negara.
“UPSI sentiasa berbangga dengan mahasiswa yang berani mencabar diri di pentas nasional. Kejayaan ini lahir daripada budaya kecemerlangan dan sokongan seluruh warga universiti dalam melahirkan graduan holistik, berdaya kepimpinan serta memiliki nilai insaniah yang tinggi,” katanya.
Menurut beliau, pencapaian tersebut membawa mesej jelas bahawa mahasiswa UPSI bersedia menjadi duta ilmu dan pemimpin masa depan, sekali gus mengangkat nama universiti di persada kebangsaan.
“Pencapaian ini mengangkat nama UPSI di persada kebangsaan, selari dengan visi universiti sebagai peneraju kebitaraan pendidikan,”katanya.
Majlis penganugerahan ATSN 2025 dijadual berlangsung pada 1 Oktober ini di Hotel Marriot, Putrajaya.
Finalis UPSI terdiri daripada Ng Zhen Fan Shankar (Anugerah Tokoh Siswa Negara), Nik Ahmad Nuri Nik Ismail (Tokoh Kepimpinan Siswa), Dennis Wong Kien Fui (Tokoh Perpaduan Siswa), Muhammad Haslan Mamat (Tokoh Sukan dan Rekreasi Siswa), Sayed Muzakkir Sayed Hamzah (Tokoh Seni dan Warisan), Abbas Ali Iftikhar Hussain (Tokoh Kelestarian Siswa) serta Majlis Perwakilan Pelajar UPSI Sidang 2022/2023 (Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa).
IMedikel TV






