ROME: Puluhan ahli mafia daripada tiga kumpulan jenayah terancang utama Itali dijatuhi hukuman penjara pada Isnin selepas didapati bekerjasama untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah dan jenayah kewangan di wilayah terkaya negara itu.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, perbicaraan besar-besaran yang dikenali sebagai “maxi-trial” itu, yang bermula pada Mei lalu, melibatkan tertuduh yang mempunyai kaitan dengan ‘Ndrangheta dari Calabria, Cosa Nostra dari Sicily dan Camorra yang berakar di sekitar Naples — kesemuanya dituduh mengendalikan apa yang disifatkan pendakwa raya sebagai sebuah “konsortium” yang menguntungkan di Lombardy.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehingga 16 tahun ke atas 62 tertuduh melalui prosedur perbicaraan ringkas, manakala 45 lagi akan menghadapi perbicaraan penuh, menurut laporan media Itali.
Digelar “Hydra”, merujuk kepada raksasa berkepala banyak dalam mitologi, perbicaraan ini merupakan antara yang terbesar berkaitan kegiatan kumpulan jenayah terancang Itali jauh dari kubu tradisional mereka di selatan negara itu.
Keluarga-keluarga ‘Ndrangheta yang berpengaruh, dan pada tahap lebih kecil Cosa Nostra serta Camorra, telah berjaya menyusup ke dalam ekonomi di utara Itali, sama ada melalui pegangan hartanah, penguasaan projek pembinaan, atau pelaburan dalam restoran dan perniagaan lain yang melibatkan aliran tunai tinggi.
Pendakwa raya Milan berhujah bahawa ketiga-tiga kumpulan itu bersetuju untuk bekerjasama dalam satu pakatan yang jarang berlaku bagi melakukan pelbagai jenayah, daripada pemerasan dan pengedaran dadah sehinggalah pengubahan wang haram dan penyalahgunaan skim kredit cukai “superbonus” Itali bagi kerja pembinaan cekap tenaga.
Hakim bersetuju dengan hujah pendakwa raya mengenai kewujudan satu pertubuhan yang terdiri daripada ahli-ahli daripada ketiga-tiga kumpulan, menurut agensi berita Itali, ANSA.
Sepanjang 21 pertemuan di kawasan Milan dan Varese pada tahun 2020 dan 2021 yang didokumenkan dalam perbicaraan, anggota mafia didakwa membuat keputusan bersama mengenai tumpuan kegiatan mereka, termasuk mendapatkan kontrak perkhidmatan pembersihan atau pengurusan tempat letak kereta.
“Tanpa tembakan, pernahkah kamu lihat bagaimana segalanya telah berubah?” kata Giancarlo Vestiti kepada seorang rakan dalam satu perbualan telefon yang dipintas dan didedahkan oleh pendakwa raya, seperti dilaporkan media tempatan.
Vestiti, salah seorang tertuduh, mewakili keluarga Senese dari Camorra yang aktif di Rome.
Perbicaraan itu turut mendedahkan hubungan antara operasi di Lombardy dengan klan Sicily pimpinan bekas ketua mafia Matteo Messina Denaro, yang meninggal dunia pada 2023 selepas 30 tahun dalam pelarian.
Antara tertuduh ialah Giuseppe Fidanzati, anak kepada ketua Cosa Nostra, Gaetano Fidanzati, yang meninggal dunia pada 2013.
Perbicaraan dijalankan di sebuah bilik mahkamah berkubu di penjara Opera, Milan, dengan kawalan keselamatan diperketatkan susulan ancaman bunuh terhadap para pendakwa raya, yang perlindungan polis mereka turut dipertingkatkan.
Kes terhadap para tertuduh berdepan pelbagai cabaran, apabila seorang hakim penyiasatan awal pada 2023 menolak sebahagian besar permohonan pendakwaan untuk waran tangkap, dengan menyatakan bukti mengenai kewujudan organisasi tiga mafia itu tidak kukuh.
Namun, mahkamah tertinggi Itali akhirnya memihak kepada pendakwa raya selepas rayuan dibuat. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






