BEIRUT: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Lubnan memaklumkan serangan Israel berhampiran sempadan Syria di timur negara itu semalam mengorbankan empat individu, dengan Israel menyatakan ia menyasarkan anggota kumpulan pejuang, Jihad Islam.
Walaupun gencatan senjata November 2024 bertujuan menamatkan lebih setahun permusuhan antara Israel dan Hizbullah, Israel terus melancarkan serangan berkala ke atas Lubnan.
Serangan itu lazimnya dengan alasan menyasarkan kumpulan disokong Iran itu, dan kadangkala turut menyasarkan sekutunya dari Palestin, Hamas.
Ia dilihat sebagai serangan pertama yang didakwa Israel di Lubnan terhadap Jihad Islam sejak gencatan senjata itu, yang juga bersekutu dengan Hizbullah.
Sebuah dron Israel menyasarkan sebuah kenderaan di sempadan Lubnan-Syria, lapor Agensi Berita Nasional yang dikendalikan kerajaan, dengan empat mayat ditemukan dalam kenderaan berkenaan.
Kementerian Kesihatan Lubnan mengesahkan jumlah korban itu dalam satu kenyataan.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata pihaknya menyerang Jihad Islam Palestin di kawasan Majdal Anjar.
Pejuang Jihad Islam antara yang terbunuh di Lubnan sepanjang permusuhan antara Israel dan Hizbullah yang tercetus pada Oktober 2023 susulan perang Gaza.
Kumpulan Palestin itu dan Hamas kedua-duanya mengaku melancarkan beberapa serangan serta cubaan pencerobohan dari Lubnan sepanjang tempoh permusuhan berkenaan.
Lebih 370 individu terbunuh akibat tembakan Israel di Lubnan sejak gencatan senjata, menurut pengiraan AFP berdasarkan laporan kementerian kesihatan.
Selaras dengan gencatan senjata 2024, tentera Lubnan pada Januari mengumumkan sudahpun melengkapkan fasa pertama pelan kerajaan untuk melucutkan senjata Hizbullah, meliputi kawasan berhampiran sempadan Israel.
Sebagai sebahagian usaha kerajaan Lubnan melucutkan senjata kumpulan bukan negara, beberapa puak Palestin di Lubnan menyerahkan senjata di beberapa kem pelarian tahun lalu kepada pihak berkuasa negara itu.
Hamas dan sekutunya, Jihad Islam, bagaimanapun belum mengumumkan sebarang perancangan untuk melucutkan senjata di Lubnan. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






