Kuala Lumpur: Seramai 23 pengadil tempatan dinaikkan ‘pangkat’ bagi tahun 2025 selepas diiktiraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), 23 pengadil itu dipilih sendiri oleh Panel Pengadil Antarabangsa Fifa.
Menerusi senarai dikeluarkan Fifa, pengadil dari Malaysia itu terdiri daripada tujuh pengadil (termasuk seorang wanita); 10 penolong pengadil (termasuk dua wanita); empat pengadil futsal (termasuk seorang wanita) dan dua pengadil bola sepak pantai.
Simbolik penyerahan lencana Pengadil Fifa itu disempurnakan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM kepada Pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah yang juga Pengadil Fifa sejak 2020.
Turut menerima lencana itu daripada Sivasundaram ialah empat pengadil futsal iaitu Helday Idang, Norafendy Norhayalan, Faiz Jamaluddin dan Atikah Janah.
“Selain itu, pengadil bola sepak pantai, Amirul Aizat Lodin dan Syahir Shaharul Nizam,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, seorang lagi pengadil, Mohd Nazmi Nasaruddin yang juga pengadil Fifa sejak 2016 serta calon pengadil Piala Dunia 2026 turut menerima lencana berkenaan daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman. – HMetro Online –
IMedikel TV






