Home Luar Negara 2 BAS BERTEMBUNG, 37 MAUT DI BOLIVIA

2 BAS BERTEMBUNG, 37 MAUT DI BOLIVIA

142
0

LA PAZ: Sekurang-kurangnya 37 orang maut termasuk empat kanak-kanak selepas dua bas yang dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di sebuah lebuh raya di selatan Bolivia, semalam.

Pegawai Polis Bolivia, Kolonel Wilson Flores, berkata setakat ini pihaknya mengesahkan seramai 37 orang penumpang bas terbabit maut di lokasi kejadian di bandar Uyuni di wilayah Potosi, Bolivia.

“Dalam kemaskini terbaharu, seramai 41 orang lagi cedera dan sudah dihantar ke hospital,” katanya.

Mangsa yang terkorban membabitkan sekurang-kurangnya dua warga asing, seorang wanita Peru berusia 80 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan Jerman berusia tiga tahun.

Tiga lagi mangsa kanak-kanak masing-masing berusia 13, 15 dan 17 tahun.

Kemalangan itu berlaku di jalan sempit dua lorong pada awal pagi semalam.

Difahamkan salah satu bas sedang dalam perjalanan ke bandar Oruro, yang menjadi lokasi perayaan Karnival Oruro hujung minggu ini iaitu antara festival terbesar di Amerika Latin yang menarik puluhan ribu pengunjung.

Punca sebenar kemalangan masih belum diketahui, namun polis memaklumkan bahawa salah satu bas memasuki lorong bertentangan.

Polis turut memaklumkan bahawa salah seorang pemandu yang terselamat tetapi dalam keadaan kritikal, mempunyai bau alkohol dan sudah menjalani ujian darah.

Jalan pergunungan yang berliku di Bolivia sememangnya terkenal dengan tahap bahaya yang tinggi.

Menurut data kerajaan, kemalangan jalan raya mengorbankan purata 1,400 nyawa setiap tahun di negara yang mempunyai kira-kira 12 juta penduduk itu.

Tragedi pada semalam berlaku kurang dua minggu selepas sekurang-kurangnya 30 orang maut apabila sebuah bas penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam 800 meter di selatan Bolivia, antara bandar Potosi dan Oruro.

Januari lalu, satu lagi kemalangan di kawasan berhampiran Potosi turut mengorbankan 19 orang apabila bas yang mereka naiki terbabas dari jalan. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here