Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
MACHANG: Sebanyak 126kilogram (kg) gula pasir disita di tiga premis perniagaan runcit akibat gagal mempamerkan tanda harga pada barangan jualan dan didapati melanggar peraturan kawalan harga barang.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata pihaknya menyerbu premis tersebut kira-kira jam 11.30 pagi selepas menerima aduan daripada orang awam, pada Jumaat lalu.
“Kita mendapat aduan mengenai peruncit telah menjual gula dan minyak masak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, kami akan mengambil tindakan tegas untuk memastikan peniaga mematuhi peraturan harga kawalan dan melindungi pengguna daripada beban kos sara hidup yang meningkat,” katanya.
Katanya, pemilik premis tersebut gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Azman berkata peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11 AKHAP 2011.
“Langkah itu penting untuk memastikan barangan keperluan asas seperti gula dan minyak masak dijual pada harga yang ditetapkan.
“KPDN turut memberi amaran bahawa premis yang melanggar peraturan akan terus dipantau bagi mengelakkan kesalahan berulang,” katanya.
IMedikel TV






