Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan 109 kes kematian akibat lemas dalam tempoh lima tahun antara tahun 2020 hingga 2024.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan, berkata angka tersebut amat membimbangkan meskipun statistik mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 1.8 peratus pada tahun 2024.
“Di Kelantan bagi tempoh lima tahun kejadian lemas mencatatkan sebanyak 109 nyawa terkorban, dan bagi kami di pihak jabatan angka ini amat membimbangkan.
“Kami akan adakan aktiviti sokongan asas bagi mengelakkan kejadian lemas dari semasa ke semasa khususnya di jeram, di tali air dan lain-lain lagi,”katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Kelantan Bulan September, di Dewan Utama JBPM Kelantan, Tunjong, di sini, hari ini.
Justeru, menurut beliau bagi meningkatkan kesedaran serta langkah pencegahan kejadian lemas, JBPM Kelantan mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai program sejak awal tahun ini.
Jelasnya antara usaha tersebut termasuk Program Renang di sekolah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan yang memberi fokus kepada pendedahan awal kemahiran berenang kepada pelajar, selain memperkukuh kemahiran anggota dan pegawai bomba.
Dalam masa sama, katanya modul asas pertolongan cemas turut diperluaskan kepada komuniti melalui program seperti Bomba Life Support dan latihan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), yang menekankan kepentingan penyelamatan asas ketika berdepan situasi kecemasan.
IMedikel TV






