Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sepuluh kanak-kanak yang menghidap masalah jantung menjalani pembedahan melalui Program Kebajikan Kardiotorasik, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) – Healing Little Hearth (HLH) 2024.
Pengarah program, Dr. Mohd Rizal Mohd Zain, berkata dalam lawatan ke-10 kali ini pihaknya merancang untuk melakukan pembedahan ke atas pesakit jantung kongenital kanak-kanak.
“Sehingga hari ini kita telah berjaya menjalankan enam pembedahan seperti yang anda lihat di luar, pada hari ini dua lagi pembedahan dijalankan. Buat masa ini pakar bedah dan pakar bius sedang bertungkus lumus menjalankan pembedahan ke atas seorang pesakit pada pagi ini dan satu lagi pada petang ini dan untuk hari yang terakhir esok kita ada dua pembedahan lagi.
“Jadi insyaAllah jika diizinkan Allah kita akan berjaya menjalankan pembedahan untuk 10 pesakit kanak-kanak jantung kongenital dari Kelantan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media di Hospital USM di sini, pada Rabu.
Katanya melalui program tersebut ia sangat membantu keluarga pesakit kerana kos pembedahan jantung kanak-kanak agak tinggi sehingga mencecah RM50,000 bagi setiap pembedahan jika dilakukan di institusi luar.
“Ini lawatan ke-10 dan program ini adalah koloborasi di antara pasukan pakar-pakar USM bersama pakar-pakar daripada HLH dan untuk makluman HLH adalah pertubuhan kebajikan yang mana mereka mengumpulkan pakar-pakar seluruh United Kingdom (UK).
“Ini termasuklah juga jururawat, perfusionis dan juga kali ini ada pakar fisioterapi untuk bergabung dengan pasukan pakar daripada hospital tempatan dalam konteks kita hospital USM untuk membuat pembedahan ke atas pesakit-pesakit jantung kongenital kanak-kanak.
Menurut Dr. Rizal juga Pakar Kardiologi Pediatrik, Hospital USM, program tersebut bermula pada 2 Jun dan berakhir 6 Jun 2024.
Katanya sejak kunjungan pertama pasukan perubatan HLH pada 2015 itu, kira-kira 90 pesakit telah mendapat manfaat dan lebih 100 pembedahan sudah dijalankan.
Tambahnya Hospital USM adalah satu-satunya hospital yang mempunyai kepakaran menjalankan pembedahan jantung kanak-kanak di Pantai Timur.
“Di USM kos pembedahan mungkin tidak sampai RM3,000 bagi setiap pesakit. Walaubagaimanpun, kos sebenar mencecah RM20,000 termasuk kos alatan dan ubatan,” katanya.
Dr. Mohd Rizal, berkata pesakit kanak-kanak yang terpilih menjalani pembedahan jantung melalui program berkenaan tidak perlu lagi dirujuk atau dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani pembedahan, sekali gus membantu mengurangkan tempoh menunggu mendapatkan rawatan pembedahan jantung.
Beliau berkata program itu turut mendapat sokongan daripada Yayasan Noor Al-Syakur
(YANAS), Persatuan Alumni Doktor USM (PADU), Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM), ‘Ronald McDonals House Charity’ (RMHC) dan orang perseorangan.


Hadir sama Pakar Pediatrik, Hospital Glenfield, Leicester, United Kingdom, Dr. Haris Kotidis dibantu oleh lima orang pasukan perubatan hospital sama dan bergabung dengan pakar-pakar dan kakitangan Hospital USM untuk menjayakan program tersebut.
IMEDIKEL TV






