Home Sukan ZII JIA ISYTIHAR DIRINYA CERGAS, TAK SABAR BERENTAP DENGAN AXELSEN

ZII JIA ISYTIHAR DIRINYA CERGAS, TAK SABAR BERENTAP DENGAN AXELSEN

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia ‘mengisytiharkan’ dia cergas sepenuhnya untuk membuat perhitungan dengan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen pada aksi final Masters Malaysia, hari ini.

Pemain ranking ke-10 dunia itu mengetepikan masalah kekejangan otot dialaminya, semalam untuk melangkah ke pentas final pertamanya di laman sendiri selepas menyingkirkan bekas juara dari Hong Kong, Ng Ka Long 21-15, 21-17 pada aksi separuh akhir di Axiata Arena, semalam.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Zii Jia ke atas Ka Long selepas turut menewaskan lawan itu ketika menjuarai Terbuka Thailand, Ahad lalu.

Zii Jia menyifatkan kejayaan kali pertama melangkah ke final di laman sendiri sebagai sesuatu yang cukup bermakna buat dirinya dan sudah bersedia sepenuhnya untuk berentap dengan Axelsen yang juga juara edisi 2018.

“Saya dalam keadaan yang baik, selagi tiada masalah kecederaan yang serius, saya akan turun ke gelanggang,” kata Zii Jia yang mengalami kekejangan otot seluruh badan selepas menyingkirkan pemain Denmark, Anders Antonsen di suku akhir, kelmarin.

“Kejayaan ke final ini sangat bermakna untuk saya kerana ia di laman sendiri… di Malaysia. Saya tidak pernah mara ke final di laman sendiri sebelum ini, jadi saya sudah tidak sabar untuk beraksi di final.”

Ditanya sama ada dia menjangkakan pertembungan dengan Axelsen yang memburu gelaran sulungnya musim ini bakal berlangsung sengit, Zii Jia, berkata: “Saya tidak fikir terlalu jauh tentang apa yang akan berlaku di final.

“Sebaliknya, saya mahu tenangkan diri, mendapatkan rehat yang cukup dan makan untuk memastikan tubuh badan saya kembali cergas bagi menghadapi aksi final,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan, Axelsen menang enam daripada sembilan pertemuan dengan Zii Jia termasuk kali terakhir pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China, bulan lalu.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Ka Long, Zii Jia mengakui selepas dia ketinggalan di set kedua, dia tidak menyangka yang dirinya mampu melakar kemenangan straight set.

“Saya tidak jangka saya boleh menang set kedua kerana selepas ketinggalan jurulatih (Wong Tat Meng) beritahu untuk saya lepaskan set kedua dan fokus set ketiga.

“Namun, saya beritahu diri sendiri untuk cuba beberapa mata lagi, tengok situasi macam mana. Selepas itu permainan saya semakin baik,” kata bekas juara Asia berkenaan.

Sebagai rekod, kali terakhir wakil perseorangan lelaki negara muncul juara Masters Malaysia adalah menerusi bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2016 di Pulau Pinang – BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here