KUALA TERENGGANU: Selepas meraih penamat kurang memberangsangkan pada Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, kapten skuad kebangsaan Malaysia, Muhammad Zawawi Azman mengisytiharkan bakal kembali ‘berperang’ pada perlumbaan berikutnya.-Memetik laporan menerusi Berita Harian-
Zawawi menyifatkan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu semalam sebagai medan untuk mencari rentak selepas berehat seketika daripada perlumbaan apabila bekas pasukannya, Sapura Cycling (TSC) dibubarkan tiga bulan lalu.
Pelumba berusia 29 tahun itu menamatkan saingan Peringkat 1 di kedudukan ke-100 daripada 128 pelumba namun baginya, masih ada peluang untuk memperbaiki prestasi terutama di Peringkat 2 yang cabarannya dilihat hampir sama dengan Peringkat 1.
Peringkat 2 dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 186.2 kilometer hari ini membabitkan tiga zon pecutan di Bukit Nenas, Bandar Permaisuri dan Peringat selain dua zon pendakian di Setiu dan Pelong.

“Bagi hari pertama (LTdL), hanya mahu buat yang terbaik. Cuba apa sahaja yang boleh di Peringkat 1 supaya Peringkat 2 nanti, boleh mencari jalan apa yang kita sasarkan.
“Pada Peringkat 1, semua pelumba masih mencari posisi. Sama juga seperti saya kerana sudah lama tidak berlumba. Jadi nak uji badan di Peringkat 1 dan untuk peringkat yang akan datang, saya akan cuba lagi.
“Saya akan ‘perang’ lagilah. Esok hampir sama seperti Peringkat 1. Saya tidak meletakkan apa-apa sasaran (peribadi) untuk LTdL. Kalau boleh peringkat demi peringkat perlumbaan, akan buat sebaik mungkin,” kata Zawawi selepas perlumbaan semalam.
Zawawi yang pernah muncul naib juara Tour de Lombok Mandalika pada tahun 2018 memegang peranan bagi membantu pasukan mencapai hasrat ketua jurulatih, Mohd Yusuf Abdul Nasir untuk menyambar Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia.
Selepas berakhirnya Peringkat 1 semalam, pasukan kebangsaan Malaysia memimpin klasifikasi pasukan dengan diekori pasukan WorldTeam, Astana Qazaqhstan Team dan ProTeam, Green Project-Bardiani CSF-Faizane.
Imedikel TV






