HANGZHOU: Seperti diramal, skuad hoki negara tidak berdepan masalah membelasah Thailand 9-0 pada aksi pertama Kumpulan B Sukan Asia 2022 di padang Gongshu Canal Sports Park, sebentar tadi.
Penguasaan penuh berjaya diperagakan anak buah Arul Selvaraj yang dilabel sebagai antara pasukan pilihan dalam kumpulan itu sekali gus menyaksikan mereka membuka kempen kali ini dengan langkah kanan.
-Memetik laporan menerusi Berita harian-
Pada aksi itu, Thailand bertahan dengan baik pada awal permainan dan berjaya menyerap asakan dengan tidak membenarkan Malaysia bergerak masuk ke dalam kawasan D mereka.
Namun mereka hanya ‘kebal’ selama lapan minit apabila Malaysia mendahului pada suku pertama menerusi gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.
Malaysia menyumbat satu lagi gol padang pada minit ke-21 menerusi penyudah Firhan Ashari sebelum menutup suku kedua dengan gol padang ketiga sumbangan Nik Mohd Aiman Nik Rozemi.
Suku ketiga menyaksikan Malaysia terus mengganas dengan empat gol masing-masing menerusi Nik Aiman, Azrai Aizad dan dua pukulan sudut penalti Muhammad Aminuddin Mohd Zain.
Dua gol lagi dihasilkan pada suku keempat menerusi Abdul Khaliq Hamirin dan Azmirul Azhar untuk Malaysia menoktahkan kemenangan bergaya 9-0 ke atas jiran ASEAN itu.
Skuad negara akan berdepan Oman manakala Thailand menentang Korea Selatan, Selasa ini.
Imedikel TV






