MEXICO CITY: Dua belas tahun lalu, James Rodriguez memperkenalkan dirinya kepada dunia di pentas Piala Dunia di Brazil.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, namun pada aksi pembukaan Colombia di PialaDunia 2026 hari ini, Luis Diaz pula membuktikan dia mampu menjadi watak utama skuad negara itu.
Diaz menjadi arkitek kemenangan 3-1 Colombia ke atas pendatang baharu, Uzbekistan dalam aksi Kumpulan K di Stadium Azteca yang dipenuhi penyokong Colombia
Walaupun kini berusia 29 tahun, ini adalah penampilan pertama Diaz di Piala Dunia selepas kemunculannya agak lewat di pentas tertinggi bola sepak ketika bersama Porto di Portugal.
Colombia juga gagal layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.
Diaz jelas tidak mahu mensia-siakan peluang itu apabila hampir menjaringkan gol menerusi percubaan yang terkena tiang sebelum menghasilkan hantaran cantik kepada Daniel Munoz untuk membuka jaringan.
Selepas Uzbekistan menyamakan kedudukan pada minit ke-60, Diaz sekali lagi tampil menjadi penyelamat apabila meledak gol lima minit kemudian untuk mengembalikan kelebihan Colombia.
Gol itu juga adalah jaringan pertama Diaz di pentas Piala Dunia.Sebelum sepak mula, sorakan paling gemuruh diberikan kepada kapten Colombia, James Rodriguez apabila wajahnya dipaparkan di skrin gergasi stadium.
Namun sorakan itu akhirnya diatasi oleh laungan penyokong ketika Diaz dikeluarkan pada minit ketiga masa kecederaan.
Prestasi cemerlang itu meneruskan rentak hebat pemain sayap Bayern Munich berkenaan yang menjaringkan 26 gol dalam semua pertandingan pada musim pertamanya di Jerman sambil membantu kelab itu menjuarai Bundesliga dan Piala Jerman.
Sebelum itu, Diaz turut memainkan peranan penting membantu Liverpool menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2024-25 dengan menjaringkan 13 gol.
Kehilangan Diaz juga dianggap antara faktor utama kemerosotan Liverpool selepas itu, terutama keranakemampuan beliau melakukan tekanan tinggi, kepantasan serta ketajaman penyudah.
“Ia satu detik yang sangat istimewa. Saya merasakan perasaan yang luar biasa ketika keluar memanaskan badan.
“Saya bekerjakeras dan berjuang untuk saat ini. Saya sedang menikmati impian zamankanak-kanak untuk beraksi di Piala Dunia bersama negara saya dan lebih manis apabila dapat menyumbang satu gol serta satu bantuan jaringan,” kata Diaz.
Rodriguez mencipta nama di Piala Dunia 2014 apabila membantu Colombia mara ke suku akhir dan muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol.
Kini, penyokong Colombia berharap Diaz atau ‘Lucho’ mampu membawa mereka melangkah lebih jauh berbanding pencapaian itu pada edisi kali ini. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






