KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman memilih kembali mengatur langkah dalam kerjaya seni secara perlahan-lahan selepas melalui tempoh panjang bergelar banduan dan pesakit yang menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Memetik laporan Berita Harian, Yasin, 51, berkata banyak perancangan mahu dilaksanakan termasuk menghasilkan lagu, memenuhi undangan persembahan dan podcast, selain menerbitkan buku autobiografi yang ditulis ketika berada dalam penjara.
“Saya akan buat secara perlahan-lahan sebab saya tahu banyak perkara yang mendatang ini membabitkan persembahan. Sekarang ini ramai orang buat podcast.
“Jadi ramai yang mahu tahu pengalaman saya kerana pengalaman masuk penjara, masuk Hospital Bahagia dan sebagainya ini bukan pengalaman biasa.
“Jadi, saya akan buat satu persatu. Banyak perkara hendak buat, banyak lagu hendak terbitkan, malah ada buku,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya bersama Malique dan Zizi Kirana berjudul Yang Tinggal di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Berkongsi mengenai keadaan studio peribadi di rumah selepas hampir lima tahun tidak digunakan, Yasin berkata, banyak peralatan rosak dan perlu dibaiki sebelum dia dapat kembali bekerja seperti biasa.
“Saya sampai-sampai memang studio saya macam ‘pecah rumah’. Sebab hampir lima tahun barang tidak digunakan, barang sudah rosak dan macam-macam lagi. Jadi, saya terpaksa baiki.
“Sampai hari ini, hampir tiga minggu pun belum siap sepenuhnya. Pada masa sama, saya penuhi undangan, podcast dan sebagainya. Jadi, insya-Allah, sedikit masa lagi semuanya akan berjalan dengan lancar,” katanya.
Mengenai buku autobiografi yang bakal diterbitkan, Yasin yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-16 pada 2001 menerusi lagu Mimpi Laila berkata, karya itu mula dihasilkan ketika dalam penjara.
Menurutnya, masa terluang dalam tahanan dimanfaatkan dengan menterjemahkan pengalaman dan fikirannya ke dalam bentuk penulisan.
“Ketika saya dalam penjara, saya tidak ada benda hendak buat, hanya duduk dalam sel. Terlalu banyak masa terluang, kemudian saya sudah fikir macam-macam, berangan dan kenangan lama datang mengusik kalbu.
“Jadi, saya terfikir, daripada aku duduk layan kepala aku macam ini, apa kata aku buat sesuatu yang konstruktif, sesuatu yang saya boleh salurkan fikiran supaya fikiran ini tidak melilau.
“Duduk dalam penjara ini, mental kita kena jaga. Kalau dibiarkan sahaja, kita akan rasa macam-macam,” katanya.
Tambah Yasin, autobiografi itu menghimpunkan kisah hidup sejak kecil sehingga melalui pengalaman di Penjara Sungai Buloh, selain menyentuh beberapa episod penting dalam kehidupannya.
“Selepas enam bulan dalam penjara, memang tidak ada buat apa-apa, jadi saya putuskan, alang-alang banyak berangan mengenai masa silam, apa kata saya tulis buku.
“Buku itu adalah autobiografi, kisah hidup saya daripada kecil sehinggalah masuk ke Penjara Sungai Buloh. Kisah daripada kecil sampai sekarang, cuma kisah yang tidak berapa menarik itu saya buat pendek.
“Cerita yang menarik seperti sejarah sakit mental saya yang saya fikir orang ramai boleh ambil manfaat daripada kisah itu, saya panjangkan,” katanya.
Anggota kumpulan nasyid Brothers itu berkata, kandungan autobiografi berkenaan sudah hampir lengkap dan kini dalam proses disertakan gambar serta bahan arkib daripada simpanannya.
“Buku sudah siap, saya cuma sedang cari masa untuk masukkan gambar. Saya ada banyak gambar yang disimpan sepanjang tahun seperti keratan akhbar, keratan majalah dan macam-macam lagi.
“Jadi, saya sedang dalam proses selitkan gambar-gambar. Apabila sudah siap, saya hendak pergi jumpa penerbit,” katanya.
Yasin berkata, sepanjang berada dalam penjara, dia berjaya menghasilkan puluhan lagu dengan 12 lagu lengkap daripada segi lirik, melodi dan susunan muzik.
“Ada puluhan lagu, tetapi yang betul-betul siap lirik, lagu, sempurna dengan susunan muziknya, semuanya ada 12.
“Untuk diri saya, mungkin saya akan nyanyikan lebih kurang empat lagu atau lima lagu. Selebihnya, saya sudah terfikir hendak tawarkan lagu itu kepada siapa. Namun, saya rahsiakan dulu siapa penyanyi itu.
“Ada beberapa lagu yang saya sudah bayangkan penyanyi mana yang akan bawakannya,” katanya.
Menariknya, Yasin berkata, proses menghasilkan lagu itu dilakukan tanpa peralatan muzik dan hanya bergantung kepada kertas, pensel serta ingatan bagi memastikan melodi yang tercipta tidak hilang.
“Tidak ada alatan. Saya ada kertas dengan pensel sahaja, jadi saya hafal. Saya tidak pandai menulis nota muzik. Jadi, saya hanya ‘hum’ (bergumam), kemudian saya perlu menulis serta mengingati melodinya.
“Semua 12 lagu itu saya hafal dalam kepala. Sebab berada dalam penjara, satu hari itu tidak ada buat apa-apa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Yasin tampil dengan lagu Yang Tinggal, ciptaan bersama Malique dan Tripdisz yang membawa tema kemanusiaan menerusi penulisan sarat dengan persoalan mengenai kehilangan, pengorbanan, harapan dan nilai kemanusiaan. – BH Online –
IMedikel TV






