Home Sukan WEST HAM KELUAR DARI ZON BAHAYA

WEST HAM KELUAR DARI ZON BAHAYA

50
0

LONDON: West Ham melonjak keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah Wolves 4-0 awal pagi tadi sekaligus menolak Tottenham ke kelompok tiga tercorot.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, skuad kendalian Nuno Espirito Santo mendahului menerusi tandukan separuh masa pertama Konstantinos Mavropanos di Stadium London.

Valentin Castellanos meledak dua gol pada babak kedua untuk memastikan West Ham yang berada di tangga ke-17 sebelum perlawanan melonjak dua mata mengatasi Tottenham di kedudukan ke-18.

Mavropanos melengkapkan kemenangan besar itu menerusi gol keduanya pada hujung permainan dalam situasi penuh ironi apabila bekas pertahanan Arsenal itu membantu menolak musuh tetangga kelab lamanya semakin hampir ke penyingkiran.

Ini kali pertama Tottenham berada dalam kelompok tiga terbawah pada hujung satu aksi EPL sejak Ogos 2015, ketika tewas 0-1 kepada Manchester United.

Tottenham berpeluang keluar semula daripada zon penyingkiran sekiranya menang ke atas Sunderland pada aksi sulung di bawah kendalian Roberto De Zerbi, malam esok.

Kelab London utara itu masih mempunyai tujuh perlawanan untuk menyelamatkan diri daripada beraksi di divisyen kedua buat kali pertama sejak musim 1977-78.

Tewas menerusi penentuan penalti kepada Leeds pada suku akhir Piala FA minggu lalu, West Ham bangkit dengan kemenangan penting dalam usaha mereka kekal dalam liga.

“Setiap orang layak menikmati malam seperti ini, terutama penyokong kami. Stadium London hari ini luar biasa, penuh dengan tenaga,” kata Nuno.

“Separuh masa pertama sukar. Kami gagal mencari ruang, permainan tidak lancar. Kemudian selepas rehat kami benar-benar meningkat.

“Cara kami bangkit membuktikan kepada diri sendiri kami tidak boleh berputus asa. Itulah semangat pasukan sejak awal.

“Kami masih berjuang. Saya sedar masih banyak kerja perlu dilakukan. Kami mengambil langkah besar hari ini, penting untuk kami, tetapi tiada apa yang berubah.”-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here