Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang warga emas maut dipercayai dipijak gajah liar ketika mencari lembu di kawasan Ladang Lepan Kabu, Pahi, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.38 petang itu, mangsa, lelaki tempatan berusia 66 tahun, ditemui terbaring tidak sedarkan diri selepas dipercayai diserang seekor gajah liar.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada Ketua Pondok Polis Pahi sebelum anggota polis bersama pegawai kesihatan memasuki kawasan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anak lelakinya dan dua rakan pergi ke ladang terbabit untuk mencari lembu miliknya.
“Mereka bertolak dari rumah kira-kira jam 2.15 petang sebelum tiba di ladang itu sekitar jam 3 petang.
“Menurut saksi yang terselamat, kumpulan berkenaan berpecah dan masing-masing berjalan kaki seorang diri ketika memasuki kawasan ladang bagi mencari lembu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya dua daripada mereka kemudian menemui kesan najis gajah sebelum terserempak dengan seekor gajah liar, menyebabkan mereka keluar dari kawasan ladang untuk memaklumkan kejadian kepada pihak polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Sementara itu, seorang lagi anak mangsa yang terselamat mendakwa terdengar bunyi gajah mengamuk dengan kuat sebelum mendengar bapanya meminta pertolongan.
“Dia kemudian berlari keluar untuk mengambil parang sebelum kembali ke lokasi dan mendapati bapanya terbaring tidak sedarkan diri, dipercayai dipijak gajah liar berkenaan.
“Pemeriksaan pegawai kesihatan kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan ladang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk proses bedah siasat,” katanya.
Kejadian turut dimaklumkan kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut.
Polis menasihatkan penduduk sekitar Ladang Lepan Kabu supaya sentiasa berhati-hati dan mengelak daripada memasuki kawasan ladang, khususnya lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan hidupan liar.
Kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
IMedikel TV






