Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas di Kampung Padang Bongor berdepan saat mencemaskan apabila rumah sewanya dinaiki air sehingga paras lutut di dalam bilik dan mencecah paras paha di bahagian luar kawasan rumah.
Che Mariam Idris, 73, berkata limpahan air yang bergerak laju memaksa dia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang kira-kira jam 4.00 petang kelmarin.
Che Mariam yang tinggal bersendirian di rumah tersebut bertuah kerana anak lelakinya Mohd Ilaham Deraman, 46, datang ke rumah ketika itu.
“Nasib baik anak saya ada, dia yang membantu saya mengalihkan barangan penting ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan.
“Air masuk cepat, jadi anak saya angkat apa yang mampu sahaja,”katanya ketika ditemui di PPS SK Tapang, di sini, semalam.
Mohd Ilaham berkata, pengalaman banjir tahun lalu membuatkan mereka lebih bersedia pada tahun ini.
“Kami sempat selamatkan peti ais dengan mesin basuh, angkat naik letak tempat tinggi. Dokumen penting pun dah siap kemas awal-awal sebab tahun lalu tak sempat nak buat apa. Tahun ni memang dah bersedia,” katanya.
Che Mariam berkata sepanjang berada di PPS dia tidak menghadapi masalah dari segi makan dan minum serta tidur kerana masih selesa.
Dia berharap cuaca kembali baik dan paras air menurun segera bagi membolehkan mereka membersihkan kediaman dalam masa terdekat.
IMedikel TV






