Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Pantai Senok yang sinonim dengan jolokan Pulau Nami bertukar seakan-akan sebuah ‘pulau’ apabila dilanda banjir terburuk dalam tempoh 40 tahun susulan hujan tanpa henti sejak dua hari lalu.
Tinjauan Kru IMedikel TV mendapati air hujan mula melimpah ke kawasan pokok rhu serta menenggelamkan jalan utama iaitu Jalan Pantai Senok dan Wakaf Aik, yang kini hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda (4×4).
Penghulu Mukim Senok, Ahmad Nordin Yusoff, berkata keadaan luar jangka itu mengejutkan penduduk apabila banjir kali ini terburuk berbanding tahun-tahun sebelumnya hingga menyebabkan terdapat banyak rumah di beberapa kampung dinaiki air.

“Memang setiap tahun kawasan Mukim Senok akan berlaku banjir, tetapi tahun ini paling luar biasa.
“Kejadian ini sangat mengejutkan semua penduduk di sini kerana banjir kali ini berlaku di luar jangkaan kami semua.
“Tempat yang jarang dinaiki air pun tenggelam. Hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja yang boleh masuk,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di Kampung Pantai Senok, di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak tujuh kampung yang terjejas akibat banjir di kawasan kediaman termasuk Kampung Pantai Senok, Kampung Cherang Laut, Kampung Sador, Kampung Wakaf Aik, Kampung Alor Tokpit, Kampung Gong Batu dan Kampung Batang Nibong.
Jelasnya setakat ini kira-kira 10 keluarga membabitkan 20 mangsa yang sudah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Chengal.
“Ada juga yang berpindah sendiri tanpa memaklumkan saya, mungkin kerana sudah biasa menghadapi banjir. Namun, ada yang enggan berpindah kerana menjaga warga emas yang sakit terlantar.
“Saya tetap sarankan mereka berpindah kerana paras air sukar dijangka dan boleh naik pada bila-bila masa,” katanya.
Ahmad Nordin berkata, keadaan air hari ini sedikit surut dan membolehkan sebahagian penduduk keluar mendapatkan barangan keperluan.
Sementara itu, seorang penduduk, Habibah Mohamed, 51, kekal bertahan di rumahnya di Kampung Pantai Senok meskipun air mencecah paras lutut di dalam rumah dan paras paha di luar rumah.

Katanya dia tidak dapat berpindah ke PPS kerana menjaga ibunya, Kelthom Yusof, 89, yang terlantar akibat sakit saraf dan memerlukan penjagaan rapi.
“Bukan saya tidak mahu berpindah ke PPS tetapi agak sukar sebab ibu saya perlu memakai lampin pakai buang.
“Disebabkan itu saya bertahan tinggal di rumah ini walaupun terkepung dengan air di laluan utama dan hadapan rumah saya.
“Memang saya bimbang melihat keadaan air dalam rumah mencecah paras lutut, di luar rumah pula paras paha, saya juga meminta tolong penghulu untuk menghantar bekalan makanan dan alhamdulillah hari ini air makin surut, boleh keluar membeli bekalan makanan seperti lauk dan beras,” katanya.

Habibah bekerja sebagai pembuat kuih manakala suaminya Yahya Omar, 64, bekerja sebagai nelayan namun sudah hilang mata pencarian sejak musim tengkujuh.

IMedikel TV






