Home Buletin Semasa WANITA WARGA EMAS DISYAKI CURI DUIT KENDURI KAHWIN DITAHAN

WANITA WARGA EMAS DISYAKI CURI DUIT KENDURI KAHWIN DITAHAN

158
0

Oleh: Afrizam Arif@ IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang wanita berusia 61 tahun yang sebelum ini tular di media sosial kerana dipercayai mencuri wang berjumlah RM2,500 ketika majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas baru-baru ini, ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata, turut ditahan bersama wanita warga emas berkenaan adalah seorang lelaki berusia 62 tahun.

“Kedua-duanya ditahan ketika menaiki sebuah teksi jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan di Jalan Sri Cemerlang, di sini, pada 5.04 petang, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek wanita warga emas itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk di Kelantan, Terengganu serta Perak dan mengaku telah mencuri duit berjumlah RM2,500 milik pengadu ketika kenduri perkahwinan di rumah itu, katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Beliau berkata, suspek warga emas lelaki didapati memiliki satu rekod lampau di Kota Bharu.

Menurutnya kedua-dua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Majistret Pasir Mas, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 38 saat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita yang menyamar sebagai tetamu untuk menumpang tandas sebelum melarikan wang tunai milik pengadu berusia 59 tahun ketika majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas pada 1 Feb lalu, pukul 12.42 tengah hari.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here