KOTA BHARU: Jumlah pesakit kanser di negeri ini meningkat setiap tahun dan kebanyakan dikesan pada peringkat tiga atau empat.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, berdasarkan statistik terkini sebanyak 1,616 kes kanser dikesan pada tahun 2023 berbanding 1,468 kes 2022.
“Kalau kita lihat dalam kontek negeri Kelantan, dari segi statistiknya bagi pesakit kanser yang mendapat rawatan atau didiagnos di hospital meningkat setiap tahun.
“Walaupun kita lihat dari segi statistiknya meningkat tetapi ia mempunyai signifikan. Kita boleh tengok dari dua sudut yang pertama dari segi masyarakat untuk mendapat rawatan di hospital-hospital kita di seluruh Kelantan.
“Jadi tentu sekali peningkatan ini adalah dari segi sudut positif iaitu bagaimana tahap kesedaran masyarakat dalam melihat kanser itu adalah penyakit yang boleh dirawat dan boleh meningkatkan kualiti kehidupan,”katanya ketika ditemui pemberita pada Program Sambutan Hari Kanser Sedunia 2025 peringkat negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Abdul Rahman Yunus.
Menurut Dr Zaini masyarakat perlu mendapat informasi yang tepat berkenaan kanser dan boleh menerima rawatan di hospital yang dilengkapkan dengan kepakaran dan untuk memastikan bahawa setiap pesakit yang didiagnos mendapat rawatan yang optima di hospital-hospital dengan kos yang murah dan berpatutan.
Sementara itu Pengerusi Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi bekata pesakit tahap tiga dan empat yang mendapat rawatan awal di hospital adalah sebanyak 54 peratus manakala 46 peratus adalah pada tahap satu dan dua.
“Sebanyak 54 peratus adalah daripada pesakit pada tahap tiga dan empat manakala 46 peratus pada tahap satu dan dua yang menerima rawatan awal di hospital.
“Peratusan itu mungkin disebabkan faktor peranan bomoh berbanding mendapatkan rawatan di hospital walaupun kita sudah bagi kesedaran setiap tahun.
“Setiap kanser kita ada tahap kesedaran masing-masing. Mungkin penerimaan pesakit agak kurang atau kepercayaan dia kepada alternatif rawatan (bomoh) lagi tinggi berbanding rawatan perubatan. Jadi kita tidak berdiam diri seterusnya mengembeling tenaga untuk meningkat dan memberi kesedaran kepada mereka bahawa rawatan awal itu lebih menjamin kesihatan mereka daripada dan boleh membawa mereka kepada survival,”katanya.
Dalam pada itu, pada Program Sambutan Hari Kanser Sedunia 2025 kerajaan negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memberi sumbangan masing-masing sebanyak RM15,000 dan RM10,000 tanda sokongan kepada pesakit kanser di negeri ini.