Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang wanita maut dalam satu kejadian kemalangan membabitkan dua kenderaan di stesen minyak BHP – Chiku 3, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu mangsa wanita maut di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kereta Perodua Kancil manakala dua lagi kanak-kanak berumur 9 dan 14 tahun cedera dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd Razani Mamat dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 1.55 petang.
“Setibanya di tempat kejadian, kami dapati sebuah kereta Kancil bertembung dengan sebuah lori berat 10 tan.
“Terdapat seorang mangsa wanita tersepit dalam kereta manakala dua lagi kanak-kanak cedera,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, operasi bomba tamat pada jam 3.13 petang,” katanya.
IMedikel TV






