Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
BACHOK: Veteran tentera menyatakan kesediaan bagi turut sama membantu melancarkan pelaksanaan Sekolah Digital yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol.
Bekas Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Jusoh Daud berkata bekas tentera sememangnya sentiasa terbuka dalam usaha mengukuhkan lagi bidang pendidikan teknologi tinggi.

“Kita perlu memperkukuh projek digital dan bekas tentera menjadikan SK Pak Badol sebagai sekolah angkat memandangkan adanya ramai alumni dari sekolah ini.
“Saya sedar inisiatif ini sangat terpuji dan berada di landasan yang betul, oleh itu menjadi tanggungjawab kita membentuk anak-anak ke arah fasih digital selari dengan kehendak pembelajaran masa kini,” katanya.

Beliau meminta kerjasama supaya sekiranya ada majlis atau program di sekolah, diharap veteran tentera turut diijemput, malah mereka boleh diberi peluang untuk sama-sama menggembleng tenaga bersama bagi menjayakannya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sekolah Digital di SK Pak Badol, Sabtu lalu.
Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Impressive Communications Sdn Bhd Tan Sri Abdul Halim Karim, alumni SK Pak Badol Dr Azmi Abdul Latiff, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pak Badol, Ashri Mustapha dan Guru Besar SK Pak Badol Noor Ashiqin Abdullah.
Dalam perkembangan sama, Abdul Halim berkata sebagai salah sebuah syarikat penyedia kelengkapan telekomunikasi dan internet, usaha mewujudkan Sekolah Digital adalah ke arah meningkatkan kesedaran dan kefahaman golongan muda mengenai penggunaan teknologi digital di sekolah.
“Penyediaan tempat bagi pelaksanaan Sekolah Digital adalah sejajar dengan situasi semasa yang mana murid dan pelajar pada masa ini lebih terdedah kepada digital dalam kehidupan mereka terutama melibatkan media sosial termasuk Facebook, Tiktok dan Instagram.
“Keadaan ini adalah perkara positif mengikut perubahan masa dan pengurusan sistem pembelajaran juga perlu berubah, sebab itulah Sekolah Digital ini sesuai diwujudkan dalam sistem pendidikan,” katanya.
Bagi Ashari pula, pihak sekolah menghargai usaha penyumbang yang menjadi ikon dan menjenamakan dewan sebagai Dewan Tan Sri Dato’ Wira Abdul Halim dan perpustakaan digital sebagai Perpustakaan Mejar Abdul Aziz Abdul Latif.
IMedikel TV






