JOHOR BHARU: UMNO tidak akan rugi apa-apa jika membuka ‘pintu’ kepada ahli atau pemimpin yang digantung dan dipecat parti itu sebelum ini.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, malah kesediaan UMNO untuk menerima bekas ahli dan pemimpin ini menunjukkan keterbukaan dan kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Jika bekas pemimpin dan ahli ini diterima masuk semula ke dalam parti UMNO, akhirnya parti itu sendiri yang akan mendapat manfaat.
“Saya berpandangan bahawa UMNO tidak akan mengalami apa-apa kerugian, jika membuka semula pintu dan ruang kepada mana-mana pemimpin dan juga ahli yang dikenakan tindakan disiplin.
“Dalam keadaan UMNO hari ini, segala usaha perlu digembleng untuk membina semula kekuatan parti, termasuk pengaruh dan nama besar yang ada pada sebahagian pemimpin dan ahli yang kini sedang berdepan dengan tindakan disiplin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pandangan itu sejajar dengan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abd Ghani Abd Rashid.
Beliau menyatakan kesediaan Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk mengugurkan hukuman gantung dan menerima ahli yang dipecat adalah sangat dialu-alukan.
“Tindakan itu juga selari dengan kenyataan Presiden yang mahu mencari titik persamaan dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO.
“Fokus utama UMNO ialah memperkukuhkan parti itu melalui kesatuan di dalam keluarga UMNO sendiri. UMNO Sembrong berharap, tindakan penyatuan ini dapat direalisasikan secepat mungkin,”katanya.
Semalam, Ahmad Zahid menyatakan UMNO akan meneliti rayuan ahlinya yang digantung keahlian untuk kembali aktif dalam parti.
Beliau berkata pihak Lembaga Disiplin UMNO akan meneliti setiap rayuan yang diterima sebelum keputusan akhir sama ada rayuan tersebut diterima atau tidak diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT).
Antara pemimpin UMNO yang digantung ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.
Sumber HMetro Online
Imedikel TV






