Home Politik UMNO TETAPKAN GARIS MERAH, WANITA FOKUS ISU EKONOMI DAPUR, PEMUDA JADI BENTENG...

UMNO TETAPKAN GARIS MERAH, WANITA FOKUS ISU EKONOMI DAPUR, PEMUDA JADI BENTENG AGAMA

142
0

KUALA LUMPUR: Seluruh sayap UMNO kini berada dalam kesiapsiagaan penuh dengan pembahagian tugas yang lebih strategik, selain menetapkan ‘garis merah’ yang tidak boleh dilangkau oleh mana-mana pihak, terutama membabitkan isu maruah dan kesucian agama.

Memetik laporan Berita Harian, EXCO Wanita UMNO, Datuk Latteefah Aliyaru Kunju, menegaskan amaran keras Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, adalah isyarat supaya pihak luar tidak memandang lekeh tahap kesabaran parti itu.

Menurutnya, Wanita UMNO tidak akan berdiam diri jika ada pihak dalam kerajaan gabungan yang cuba mempolitikkan isu Islam atau mencetuskan provokasi melampau.

“Jangan uji kesabaran kami. Isu seperti kalimah Allah dan stoking dengan kalimah Allah tempoh hari adalah contoh provokasi yang mengguris hati umat Islam. Kami tidak akan berkompromi soal maruah,” katanya.

Pandangan itu disokong Perwakilan Wanita Bayan Baru, Datin Ros Suriyati Alang, yang menyifatkan UMNO sebagai benteng utama orang Melayu yang tidak akan membiarkan kepentingan Islam diperkotak-katikkan demi kelangsungan politik pihak tertentu.

Wanita galas tugas baharu

Dalam pada itu, sayap Wanita kini menggalas tanggungjawab baharu yang lebih mencabar.

EXCO Wanita UMNO, Maizatulakmam Othman, berkata Timbalan Presiden UMNO telah menggariskan peranan Wanita untuk menumpukan kepada ekonomi dapur rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Peranan ini lebih relevan dengan situasi semasa. Kita mahu Wanita dan Puteri bergerak seiring, tanpa ada jurang tugas yang terlalu besar bagi memastikan kemenangan parti,” jelas Maizatulakmam.

Perwakilan Wanita Baling, Suriati Che Mid, pula menambah bahawa biarpun Pemuda dilihat sebagai suara agresif di barisan hadapan, sayap Wanita tetap memainkan peranan penting dalam ruang digital.

Beliau mendedahkan ramai ahli Wanita berusia 60 tahun ke atas kini mula aktif di media sosial untuk menangkis fitnah dan menyebarkan fakta perjuangan parti.

Kesepakatan ini memperlihatkan UMNO kini mempunyai peta jalan yang jelas menuju persiapan PRU akan datang dengan Pemuda sebagai suara pembingit dan benteng agama, Puteri sebagai jaguh media sosial menarik Gen Z, manakala Wanita sebagai penggerak ekonomi dan kebajikan akar umbi.

Suriati merangkumkan ucapan Tok Mat selaku Timbalan Presiden UMNO sebagai ‘jelas, padat, dan tepat’ dalam usaha mengembalikan kegemilangan UMNO dalam persada politik tanah air. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here