BATU PAHAT: Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor yang dijadualkan hari ini akan membincangkan pelbagai agenda utama termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung selewat-lewatnya awal tahun depan.
Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata mesyuarat terbabit akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Beliau berkata, mesyuarat terbabit adalah kesinambungan daripada perjumpaan kepimpinan negeri dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bulan lalu di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Ahmad berkata, beliau menjangka tiada sebarang keputusan termasuk tarikh berlangsungnya PRN Johor diputus dalam mesyuarat terbabit kerana ia perlu dirujuk kepada beberapa pihak yang lain.
“Dalam mesyuarat esok sudah tentu ada beberapa perkara yang penting akan dibincangkan. Kami akan membentangkan segala persiapan yang dibuat serta apakah isu-isu dan perkara yang perlu ditangani oleh UMNO Johor.
“Mesyuarat juga akan dihadiri semua ketua bahagian dan mereka akan diberi peluang berucap termasuk mengemukakan pandangan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa, Penyampaian Tanda Hati kepada Ketua Cawangan 4 Peringkat dan Bantuan Bakul Makanan Jawatankuasa Pentadbir Cawangan (JPCC) di sini, semalam.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Zaidi Japar.
Dalam pada itu, sebagai persiapan menjelang PRN Johor, kepimpinan UMNO negeri sudah mula menggerakkan kerja di semua 26 bahagian.
Menurut Ahmad, beliau dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin serta Menteri Besar sendiri akan turun di bahagian yang ditetapkan masing-masing untuk bertemu dengan jentera.
“Saya dan Khaled masing-masing turun ke lapan bahagian, begitu juga Menteri Besar. Tapi beliau (Menteri Besar) akan turun mana-mana bahagian yang beliau nak pergi.
“Setakat ini, empat bahagian sudah saya turun dan Insya Allah, baki empat lagi akan diteruskan secepat mungkin,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






