Home Sukan TZE YONG BALAS DENDAM UNTUK ZII JIA

TZE YONG BALAS DENDAM UNTUK ZII JIA

287
0

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong melunaskan dendam buat rakan senegara, Lee Zii Jia apabila menewaskan Ng Ka Long dari Hong Kong pada aksi pusingan kedua Terbuka Korea, hari ini.

Tze Yong beraksi cemerlang apabila melakar kemenangan 21-18, 21-17 ke atas Ka Long pada aksi yang berlangsung di Stadium Jinnam, Yeosu sekali gus melangkah ke peringkat suku akhir.

Ini adalah kali kedua Tze Yong menewaskan Ka Long dalam tiga pertemuan selepas turut menang ketika aksi Terbuka Singapura tahun lalu.

Pemain ranking ke-23 dunia itu bagaimanapun berdepan tugas mencabar dalam misi untuk melangkah ke separuh akhir apabila dijadual bertemu pemenang perlawanan antara bekas juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura dengan wakil China, Zhao Jun Peng.

Semalam, Ka Long yang kini dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Wong Choong Hann menyingkirkan Zii Jia yang dilatih bekas sifunya, Wong Tat Meng di pusingan pertama menerusi kemenangan 21-15, 18-21, 21-17.

Kemenangan Tze Yong hari ini memastikan Malaysia terus mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki selepas kekalahan Zii Jia, Leong Jun Hao dan Cheam June Wei di pusingan pertama.

Sebagai rekod, ini adalah kali kelima Tze Yong berjaya melangkah ke suku akhir musim ini selepas turut melakukannya di Masters Thailand, Seluruh England, Terbuka Switzerland dan Terbuka Thailand. – BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here