Home Buletin Semasa TVET INKLUSIF BUKA PELUANG PELAJAR PPKI SMK CHERANG RUKU TEROKA TEKNIK SENI...

TVET INKLUSIF BUKA PELUANG PELAJAR PPKI SMK CHERANG RUKU TEROKA TEKNIK SENI BATIK

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Usaha memperluaskan akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara inklusif kepada pelajar berkeperluan khas diteruskan apabila seramai 20 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku mempelajari teknik asas seni batik menerusi pembelajaran secara praktikal.

Pengendali Kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bertajuk “Batik Kreatif: Dari Warna ke Corak” sempena National Training Week (NTW) 2026 dari Politeknik Besut, Terengganu, Noorhati Abd Kadir berkata, program berkenaan dapat memperkukuhkan kerjasama antara institusi TVET dan sekolah dalam memperluaskan akses kepada pembelajaran berasaskan kemahiran untuk semua lapisan masyarakat, khususnya pelajar berkeperluan khas.

Noorhati berkata program itu membimbing pelajar PPKI memahami teknik gabungan warna, pengawalan tona dan proses pewarnaan batik.

“Program yang berlangsung di Studio PPKI sekolah ini memberi peluang kepada peserta menghasilkan karya unik mengikut kreativiti masing-masing, selain membantu merangsang perkembangan kreativiti, koordinasi motor halus dan keyakinan diri.

“Walaupun terdiri daripada pelajar berkeperluan khas, mereka menunjukkan tahap fokus, kesabaran dan komitmen yang tinggi sepanjang menyiapkan hasil karya,” katanya selepas kursus berkenaan di SMK Cherang Ruku, di sini, semalam.

Turut hadir memberi sokongan, Pengetua SMK Cherang Ruku, Mohd Rozaki Bakar guru PPKI, Nordiana Nordin @ Yaacob, Nor Aaizah Ismail dan Munirah Radzuan.

Beliau berkata, kursus itu turut dikendalikan bersama Mohd Ehfan Ibrahim daripada Jabatan Reka Bentuk dan Komunikasi Visual, Politeknik Besut, Terengganu dengan bantuan fasilitator dalam kalangan pelajar Diploma Batik Fesyen Semester Lima.

Menurutnya, pembelajaran secara praktikal memberi peluang kepada pelajar memahami teknik menghasilkan batik dengan lebih mudah.

“Melalui aktiviti ini, pelajar dapat meneroka gabungan warna dan menghasilkan corak berdasarkan kreativiti sendiri, malah mereka diajar karya yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri.

“Pendekatan pembelajaran berasaskan kemahiran bukan sahaja memperkenalkan pelajar kepada seni batik, malah memberi ruang kepada mereka mengenal pasti bakat serta membina keyakinan diri,” katanya.

Katanya, program berkenaan diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar berkeperluan khas untuk meneroka bakat, meningkatkan kemahiran serta membina keyakinan diri melalui aktiviti pendidikan kreatif.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here