Home Hiburan TV3 STESEN TV PERTAMA GUNA HOS AI SEMPENA PRN SABAH KE-17

TV3 STESEN TV PERTAMA GUNA HOS AI SEMPENA PRN SABAH KE-17

65
0

KUALA LUMPUR: TV3 melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya membawakan liputan perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dengan menampilkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), Sabtu lalu.

Program Mandat Sabah 2025 yang dihoskan oleh pengacara, Mior Abdul Malek Raiyani dan Azaria Tagaya itu menampilkan karakter bernama Sofea sebagai pengantara maya yang turut memperincikan beberapa data mengenai PRN Sabah ke-17.

Selain penampilan beberapa panel terkemuka mengupas bahang politik Sabah, penggunaan AI dalam liputan Mandat Sabah 2025 turut berkongsi data penting bagi tatapan pononton oleh Sofea.

Selain mengupas isu politik, penggunaan karakter Sofea itu turut membantu dalam memberikan konteks yang lebih mudah difahami menerusi penyampaian santai namun inklusif.

Program itu turut diserikan dengan sentuhan elemen infografik bagi membawakan laporan yang lebih kompleks.

Penerbit Rancangan, Mohd Hafizul Akhmal Azeman, 35, berkata penggunaan AI dianggap suatu langkah memperkasa penyampaian kandungan melalui pendekatan lebih moden dan interaktif.

“Penghasilannya (watak Sofea) sahaja bukan mudah tetapi (kumpulan penerbitan) dapat menghasilkan karakter yang hampir menyerupai manusia sebenar dan mampu bertutur serta memberikan maklumat terkini di dalam siaran langsung itu boleh disifatkan sebagai satu kejayaan yang besar kerana di Malaysia bidang AI ini masih baharu.

“Jadi, saya dapat rasakan bermula daripada sinilah titik tolaknya pelbagai lagi unsur AI akan digunakan dengan lebih menyeluruh bukan sahaja di dalam media Malaysia tetapi di dalam industri yang lain juga,” katanya.

Beliau turut mengakui bukan mudah untuk menerbitkan program berasaskan teknologi secara langsung.

“Penghasilan Sofia memerlukan penyelidikan, pembangunan karakter, dan penambahbaikan yang mengambil masa lebih sebulan sebelum siaran Mandat Sabah,” ujarnya.

Sementara itu, pereka grafik yang terlibat dalam penghasilan visual Sofea, Nurul Farah’ain Nordin, 37, berkata, proses membangunkan pengatara maya itu memerlukan gabungan kemahiran reka bentuk, animasi dan kecerdasan buatan yang terperinci.

“Proses bermula sebulan untuk hasilkan karater, mood, cara pemakaian yang kita kena pastikan supaya menepati piawaian siaran langsung di TV.

“Bahagian yang paling mencabar apabila kita kena memudahkan skrip untuk Sofea faham mengikut situasi yang dikehendaki sebab kadang-kadang bahasa dia (Sofea) akan bertukar kepada bahasa Indonesia jadi di situ kita kena ubah lagi skrip.

“Kita juga kena bayangkan situasi sebenar yang dikehendaki supaya dapat disesuaikan dengan perubahan kamera dan situasi. Apabila habis ‘prompt’ kita kena kenal pasti semua maklumat itu tepat,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here