Home Buletin Semasa TUPAI, KERA ROSAKKAN KEBUN DURIAN, PENGUSAHA RUGI PULUHAN RIBU RINGGIT

TUPAI, KERA ROSAKKAN KEBUN DURIAN, PENGUSAHA RUGI PULUHAN RIBU RINGGIT

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

GUA MUSANG- Lebih 400 pengusaha tanaman durian sekitar Kebun Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini, bimbang masalah haiwan perosak dan merugikan mereka dalam puluhan ribu ringgit.

Pengusaha, Mohd Johan Awang Chik, 55, berkata, beliau mengalami kerugian sejak
tahun lalu apabila hampir 90 peratus daripada keseluruhan hasil durian yang
ditanam musnah akibat haiwan perosak.

Menurtunya haiwan perosak seperti tupai, monyet, kera dan beruk datang secara
berkelompok, memusnahkan tanaman seluas kira-kira 800 hektar terutama ketika
buah hampir masak termasuk durian jenis Musang King.

“Selain itu, ada juga pekebun terserempak dengan babi hutan dan beruang
yang datang memakan hasil tanaman,” katanya kepada pemberita di Kebun RPT
Kesedar Sungai Terah, di sini, semalam.

“Haiwan seperti tupai dan kera hadir tidak terkawal menyebabkan buah
durian berlubang dan rosak, sekali gus tidak boleh dijual.

Mohd Johan meminta kerajaan melalui Jabatan Pertanian di bawah Kementerian
Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman
Negara (Perhilitan) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membantu pekebun
dalam menangani masalah tersebut.

“Saya terpaksa mengupah Orang Asli sekitar kebun ini menggunakan cara
sumpit haiwan perosak dan kalau kita tidak jaga kawasan ini pada musim durian,
memang langsung tidak akan dapat buah,” katanya.

Sementara itu, pesara polis Mohd Nawi Mat, 70, berkata pekebun mengharapkan
pihak berwajib mengawal undang-undang penggunaan senjata api tanpa lesen
termasuk memberi kelonggaran kepada pemilik lesen senapang patah peluru tabur
bagi mengatasi ancaman berkenaan.

“Permintaan penggunaan senjata ini bagi membolehkan mereka yang layak
dapat mengurus dan mengawal hal haiwan perosak khususnya pada musim buah,”
katanya.

Beliau berkata keadaan itu menjadi sangat sukar bagi menjaga kebun sejak
kebenaran menggunakan senjata api ditarik semula kira-kira tiga tahun lalu.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here