Home Buletin Semasa TUJUH KENDERAAN PENGUAT KUASA JADI MANGSA ‘JERAT’ PAKU, BESI TAJAM

TUJUH KENDERAAN PENGUAT KUASA JADI MANGSA ‘JERAT’ PAKU, BESI TAJAM

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

BERA: Tujuh kenderaan pacuan empat roda milik agensi penguat kuasa mengalami tayar bocor selepas dipercayai terkena paku dan besi tajam ketika menjalankan rondaan dalam Operasi Hutan Simpan Kekal Tasek Bera, di sini.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan objek tajam di atas laluan kenderaan penguat kuasa ketika operasi bersepadu itu memasuki hari keempat.

Tujuh kenderaan terbabit membabitkan kenderaan milik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang digunakan untuk menjalankan rondaan di kawasan perkampungan Orang Asli.

Menurut pemandu kenderaan terbabit, tayar pacuan empat roda mereka terkena paku payung dan besi tajam yang diletakkan di atas jalan.

Malah, paku payung dipercayai dimasukkan ke dalam botol minuman sebelum diletakkan di laluan, seolah-olah dijadikan jerat bagi memastikan objek tajam itu mengenai tayar kenderaan yang melanggarnya.

Turut ditemui besi tajam yang diletakkan di atas jalan dan berpotensi merosakkan tayar kenderaan.

Dalam satu kejadian, sebanyak tiga paku dilaporkan melekat pada satu tayar, sekali gus menunjukkan terdapat sejumlah objek tajam diletakkan di laluan berkenaan.

Kejadian itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemandu kenderaan penguat kuasa kerana kerosakan tayar memerlukan mereka mendapatkan khidmat pembaikan di bengkel di bandar Bera.

Sementara itu, Polis Pahang meminta penduduk tempatan di sekitar Hutan Simpan Kekal Tasek Bera supaya tidak menghalang tugas anggota penguat kuasa yang menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata setakat ini penduduk tempatan memberikan kerjasama penuh kepada agensi penguatkuasaan yang menjalankan kerja pengukuran semula kawasan hutan simpan terbabit.

“Kita minta masyarakat beri kerjasama penuh dan tidak menghalang penjawat awam menjalankan tugas kerana tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada 15 September lalu, polis menahan lima individu yang dipercayai menghalang penguat kuasa menjalankan tugas ketika operasi di Hutan Simpan Kekal Tasek Bera.

Dalam kejadian itu, sekumpulan individu didapati mendirikan halangan serta melakukan provokasi terhadap sepasukan penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here