Home Luar Negara TRUMP TANGGUH KENAIKAN TARIF KE ATAS EU KEPADA JULAI

TRUMP TANGGUH KENAIKAN TARIF KE ATAS EU KEPADA JULAI

257
0

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersetuju menangguhkan pelaksanaan tarif sebanyak 50 peratus ke atas barangan Kesatuan Eropah (EU) kepada 9 Julai, susulan perbualan telefon dengan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Memetik laporan Bernama-Anadolu menerusi Harian Metro, menerusi hantaran di platform Truth Social pada Ahad, Trump berkata, von der Leyen memohon lanjutan tempoh itu semasa perbualan mereka dan menyatakan bahawa rundingan “akan dimulakan dengan segera.”

Beliau menyifatkan keputusan memberikan penangguhan itu sebagai satu “keistimewaan.”

Von der Leyen turut mengesahkan panggilan telefon berkenaan dan berkata, EU bersedia bertindak “dengan pantas dan tegas” bagi memajukan rundingan perdagangan.

“Untuk mencapai perjanjian yang baik, kami memerlukan masa sehingga 9 Julai,” katanya.

Terdahulu, Trump mengancam untuk mengenakan tarif tinggi itu bermula 1 Jun, dengan alasan wujudnya amalan dan halangan perdagangan tidak adil yang menjejaskan syarikat-syarikat AS.

Kenyataan terbabit menunjukkan ketegangan perdagangan antara Washington dan Brussels buat sementara waktu mereda, meskipun perbezaan ketara masih wujud berhubung tarif, subsidi dan piawaian kawal selia. -Bernama-Anadolu, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here