Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BERA: Operasi Bersepadu Tindakan Penguatkuasaan Bersepadu Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasek Bera selamat sebulan yang berakhir 24 Januari lalu, disambung selama dua minggu lagi.
Operasi membabitkan kawasan ceroboh yang diusahakan pihak tidak bertanggungjawab dengan mengusahakan tanaman kelapa sawit dan getah seluas 7,000 hektar yang kini telah mengeluarkan hasil.

Operasi diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang.
Tujuan utama operasi itu diadakan bagi memastikan kawasan Hutan Simpan Kekal Tasek Bera sentiasa dipelihara, dilindungi dan diurus secara dengan kepentingan negeri dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Operasi yang dibahagikan kepada tiga kumpulan diketuai Ketua Unit UPNP, Saifullah Muhammad Ali. Kumpulan pertama melakukan pemantauan bermula 9 pagi hingga 4 petang, kumpulan kedua 4 petang hingga 12 malam dan kumpulan ketiga bermula 12 malam hingga 9 pagi.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sebelum ini bertindak tegas dengan menyita bangunan rumah burung walit yang dibina secara haram dalam Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera.
Perbuatan membina bangunan dalam hutan simpan kekal merupakan kesalahan yang menyalahi undang-undang dibawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
IMedikel TV






