Madrid: Kylian Mbappe meledak dua gol termasuk satu jaringan menakjubkan menerusi aksi individu ketika Real Madrid menewaskan Sevilla 4-1 dalam aksi La Liga, awal pagi tadi, untuk melonjak ke tangga ketiga liga.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Arda Guler membuka tirai jaringan menerusi rembatan menarik sebelum Mbappe menyumbat dua gol, manakala Yan Diomande turut mencatat nama selaku penjaring untuk membantu skuad kendalian Jose Mourinho mengatasi Real Betis dalam carta liga.
Gol pertama Mbappe hadir menerusi gerakan individu memukau apabila penyerang Perancis itu melakukan gerakan roulette di luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan ke gawang Sevilla, manakala gol keduanya hadir menerusi sepakan penalti Panenka.
Mourinho berkata, dia berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, sambil mengakui pasukan itu masih memerlukan masa untuk meningkatkan keserasian selepas hanya bersama dalam tempoh singkat.
“Kami bermain dengan baik. Kami sebuah pasukan dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri, sedangkan kami baru bersama dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada Real Madrid TV.
Mourinho turut mengakui tekanan mengendalikan kelab gergasi seperti Real berbeza berbanding pasukan lain, namun menegaskan pihaknya akan memanfaatkan setiap peluang untuk memperbaiki prestasi.
“Kami sukar menikmati ketenangan seperti yang dirasai jurulatih lain di kelab lain, mengambil kira besarnya nama Real Madrid, tetapi kami memanfaatkan setiap minit yang ada,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Real mengatasi Betis untuk menduduki tangga ketiga, namun masih ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Barcelona, yang membelasah Betis, kelmarin.
Atletico Madrid pula berada di tangga kedua, menjadikan persaingan di kelompok teratas semakin sengit menjelang pertembungan El Clasico antara Barcelona dan Real di Camp Nou hujung minggu depan.
Bagaimanapun, kemenangan Real itu turut dibayangi kontroversi pengadilan apabila Guler terlepas daripada dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama selepas didakwa menyiku pemain Sevilla, Peque.
Pengendali Sevilla, Luis Garcia Plaza, meluahkan kekecewaan kerana berpendapat pasukannya sepatutnya mendapat kelebihan beraksi dengan 10 pemain lawan sejak minit ke-25.
“Ada perlawanan yang berlangsung 11 menentang 11 dan mereka memang layak menang, tanpa sebarang keraguan. Tetapi kami dinafikan peluang untuk bermain dalam satu lagi situasi perlawanan.
“Kami dinafikan peluang beraksi menentang 10 pemain. Selepas itu, saya tidak mahu bercakap lagi mengenai perlawanan ini. Sepatutnya kami bermain dengan kelebihan seorang pemain sejak minit ke-25,” katanya.
Garcia Plaza turut membayangkan keputusan pengadil mungkin dipengaruhi pertembungan El Clasico hujung minggu depan, dengan Real berusaha merapatkan jurang dalam perebutan kejuaraan.– AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






