Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Jenazah guru, Allahyarham Hassan Shazali, 52, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedai Menanti, di sini, jam 9.10 malam ini.
Urusan pengebumian berjalan lancar dan dihadiri hampir 50 individu termasuk ahli keluarga serta kenalan terdekat yang hadir bagi penghormatan terakhir.
Terdahulu, solat jenazah Allahyarham diimamkan oleh anak sulongnya, Amir Haziq Hassan, 24.
Suasana hiba menyelubungi kawasan tanah perkuburan ketika ahli keluarga dilihat sebak sepanjang urusan pengebumian dijalankan.
Kakak Allahyarham, Rohani Ghazali, 63, berkata, dia redha dengan pemergian adik lelakinya itu.

“Alhamdulillah selesai urusan pengebumian jenazah, kubur arwah bersebelahan dengan kubur arwah ayah, Sazali Mat Daud, 81,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, seorang guru dan bakal isterinya maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), Terengganu.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa dari arah Hulu Terengganu menghala ke Gua Musang telah melalui jalan berkenaan yang ditutup akibat tanah runtuh.
Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
IMedikel TV






