Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
GUA MUSANG: Tiga rakan sekerja maut dalam kejadian kemalangan di Kilometer 55 Jalan Gua Musang – Kuala Krai semalam, dipercayai menghala ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan terbabit berlaku pada jam 12.40 tengah hari dan membabitkan dua buah kenderaan.

“Kemalangan berlaku apabila pemandu kenderaan serba guna (mpv) yang berusia 42 tahun dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus bersama tiga rakan sekerjanya.
“Pemandu terbabit dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van dari arah bertentangan, dan disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu van tidak sempat mengelak dan bertembung dengan kenderaan itu menyebabkan van itu berpusing dan melanggar tembok batu penghadang jalan di sebelah kiri menghala ke Gua Musang,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Beliau berkata, akibat pertembungan itu, pemandu dan penumpang van serta pemandu kenderaan mpv mengalami kecederaan parah manakala tiga lagi rakan sekerja yang juga penumpang mpv maut di lokasi kemalangan.
Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Gua Musang di talian 099121222.
IMedikel TV






