Home Buletin Semasa TIGA LELAKI TERMASUK DUA PENUNTUT IPT DIDENDA RM11,000, MILIKI GAMBAR VIDEO LUCAH

TIGA LELAKI TERMASUK DUA PENUNTUT IPT DIDENDA RM11,000, MILIKI GAMBAR VIDEO LUCAH

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tiga lelaki termasuk dua penuntut Institusi Pengajian Tinggi didenda RM11,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki gambar dan video lucah jantina sejenis dalam telefon bimbit di sebuah rumah di Kemumin, 18 Jun lalu.

Tertuduh, Mohd Hanafi Ibrahim,47, Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil, 22, dan Mohamad Syahmi Firas Mohd Jurij, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan bagi ketiga-tiga tertuduh, mereka didakwa memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbit masing-masing pada jam 1.15 pagi, 18 Jun lalu.

Perbuatan itu berlaku di sebuah rumah di Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacan, Panchor, di sini.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Nur Haziqah Hassan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Chong Yin Xin.

Terdahulu, Muhammad Nadzir dan Nur Haziqah memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya ke atas tertuduh memandangkan tindakan itu tidak bermoral serta bercanggah dengan nilai dan norma masyarakat.

Manakala, Yin Xin memohon denda paling minima terhadap anak guamnya memandangkan mereka sudah insaf dan berjanji akan berubah.

“Anak guam saya yang pertama, Mohd Hanafi pernah menjalani pembedahan kepala pada 2016 kerana memiliki masalah kesihatan dalam otak dan kini ditanggung oleh kakaknya.

“Manakala Muhammad Al Azamuddin adalah penuntut universiti tahun pertama dan Mohamad Syahmi Firas adalah penuntut akhir di Politeknik.

“Kesemua keluarga mereka juga akan membimbing mereka ke jalan yang benar selepas ini,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan denda sebanyak RM3,000 kepada Mohd Hanafi, manakala Muhammad Al Azamuddin dan Mohamad Syahmi Firas masing-masing didenda RM4,000.

Media sebelum ini melaporkan, perjumpaan makan-makan kumpulan LGBT di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, di sini, yang dipercayai disertai hampir 100 lelaki diserbu polis.

Serbuan yang dilakukan hasil risikan dan maklumat awam jam 1 pagi pada pertengahan bulan lalu itu menahan 20 lelaki selain merampas ratusan kondom dan ubat HIV.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here