Home Hiburan TIADA SYARAT ‘PAKEJ’ SUAMI ISTERI

TIADA SYARAT ‘PAKEJ’ SUAMI ISTERI

271
0

KUALA LUMPUR: Aura pengantin baharu nyata membuka lebih banyak pintu rezeki buat pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, apabila dia mengakui menerima banyak tawaran untuk tampil bersama suami, Ezwan Zain dalam pelbagai acara dan program.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 51, bagaimanapun menegaskan tidak meletakkan sebarang syarat kepada mana-mana syarikat atau jenama produk yang mahu mengambil mereka secara ‘pakej’, iaitu tampil bersama suami.

“Banyak juga permintaan untuk kami hadir berdua. Mungkin kerana ‘vibe’ pengantin baharu itu masih dirasai. Jadi, ada pihak yang mahu kami tampil bersama dalam pelbagai acara,” katanya.

Menurut Erra, tiada paksaan atau keperluan wajib untuk mengambil mereka sebagai pasangan.

“Tiada paksaan dan tiada syarat wajib. Kalau sesuatu tawaran itu memberi manfaat, kami akan pertimbangkan.

“Tidak semestinya perlu ambil kami berdua. Kalau mereka mahu ambil suami sahaja pun, saya tiada masalah,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan premis pertama Cluck’n Cone di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Erra berkata, kemunculannya bersama suami juga bertujuan memberi sokongan kepada perniagaan tempatan, khususnya produk Bumiputera.

“Setiap tawaran akan dibincangkan bersama suami kerana dia juga usahawan. Selagi projek itu membawa kebaikan dan memberi manfaat, kami tiada masalah untuk tampil berdua.

“Contohnya, produk ini. Walaupun nampak agak tergesa-gesa kerana kami baru pulang dari menunaikan umrah, kami tetap fikir dari pelbagai sudut.

“Memandangkan ini produk tempatan dan Bumiputera, sudah tentu kami mahu memberi sokongan,” katanya.

Fasa sesuaikan diri

Mengulas kehidupan selepas berkahwin, Erra mengakui perlu melakukan penyesuaian, terutama daripada segi jadual kerja.

Malah, dia turut mengakui berasa sedikit kekok kerana sudah lama hidup bersendiri selepas bercerai lebih sedekad lalu.

“Memang ada rasa kekok, terutama apabila perlu membiasakan diri untuk meminta izin dengan suami. Namun, ia bukan masalah besar buat saya.

“Kami senang berkomunikasi dan semua perkara dibincangkan secara terbuka. Sekarang ini, kami berada dalam fasa menyesuaikan diri,” jelas pelakon filem Sembilu itu.

Sementara itu, berkongsi pengalaman menunaikan umrah bersama suami, baru-baru ini, Erra menyifatkan perjalanan ke Tanah Suci itu sebagai pengalaman cukup bermakna kerana kali pertama dia menyambut hari jadi Ezwan di sana.

“Ini kali pertama saya menyambut hari jadi suami di Tanah Suci. Niat kami bukan untuk berbulan madu, sebaliknya lebih kepada hasrat dan niat beribadat bersama.

“Alhamdulillah, perasaan bercampur-baur. Ada perasaan terharu, gembira dan sangat bersyukur. Ia menjadi memori indah untuk kami,” katanya.

Menurut Erra, perjalanan itu juga tidak dirancang secara terperinci, namun segala urusan dipermudahkan.

“Sebenarnya kami bercadang untuk menangguhkan perjalanan ini kerana agak sibuk sepanjang Januari. Tetapi, Allah seolah-olah mendorong kami untuk meneruskan niat itu.

“Alhamdulillah, semuanya sangat lancar walaupun tidak dirancang,” katanya.

Erra turut berkongsi doa suaminya yang banyak memohon keberkatan dalam perkahwinan mereka.

“Ezwan banyak berdoa supaya perkahwinan kami sentiasa berada dalam kebaikan dan niat kami sentiasa diperbaiki kerana Allah. Kami berharap jodoh ini direstui hingga ke syurga,” katanya.

Erra dan Ezwan selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah yang di sebuah premis acara di Kampung Melayu Subang, Shah Alam, pada 12 Disember lalu. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here