Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Seorang remaja lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Kampung Laut, berhampiran laluan kereta api Kampung Laut, di sini, pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah stesen minyak Kampung Laut menuju ke Balai Polis Palekbang melalui Jalan Kampung Laut.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kejadian berlaku pada jam lebih kurang 9.20 pagi, mangsa menunggang motosikal dari arah stesen minyak BHP Kampung Laut ke arah Balai Polis Palekbang melalui Jalan Kampung Laut.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kira-kira 500 meter dari stesen minyak tersebut, semasa mangsa sedang bergerak lurus sebuah kereta yang dipandu lelaki warga emas berusia 75 tahun, yang berada di bahu kiri jalan, secara mengejut membelok ke kanan memasuki laluan utama untuk membuat pusingan-U,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan kereta berkenaan sebelum terjatuh di lokasi kejadian.
Jelasnya mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tumpat, sebelum mayatnya dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.
“Daripada hasil bedah siasat punca kematian adalah akibat severe head injury with polytrauma,” katanya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Tumpat di talian 09-725 7222 atau hadir sendiri ke Pejabat Trafik IPD Tumpat.
Dalam masa sama, pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
IMedikel TV






