Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang dilaporkan hilang sejak pagi semalam ketika keluar menoreh getah di Kampung Lubok Simpol, Seri Rahmad dekat sini, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pagi tadi.
Mangsa, Mazlina Abdullah, 37, ditemui pada jam 11.15 pagi kira-kira 500 meter dari kediamannya selepas operasi SAR yang digerakkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.
Komander Operasi Kanan, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa dipercayai tersesat ketika menjalankan kerja menoreh getah di kawasan kebunyang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
“Jarak dari jalan persekutuan ke rumah mangsa adalah kira-kira 9 kilometer (km). Pasukan SAR berjaya menemui mangsa dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan, namun beliau kelihatan letih.
”Mangsa ditemui pasukan SAR kira-kira 500 meter dari kediamannya,”katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV hari ini.
Menurutnya, keluarga memaklumkan mangsa keluar ke kebun getah bersama tiga individu lain pada pagi semalam namun tidak pulang ke rumah sehingga laporan dibuat kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kelantan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.53 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai digerakkan ke lokasi.
Operasi yang turut membabitkan aset Hilux, Water Tender dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) berjaya ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.30 pagi.
IMedikel TV






