Home Sukan TEROWONG ‘MENAKUTKAN’ SAMBUT ENGLAND DI SERBIA

TEROWONG ‘MENAKUTKAN’ SAMBUT ENGLAND DI SERBIA

LONDON: Thomas Tuchel memberi amaran kepada pemain England mereka akan melalui terowong ‘menakutkan’ di Serbia bagi menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026, awal pagi esok.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Kapten Three Lions, Harry Kane pula mengakui laluan dari bilik persalinan ke padang akan terasa seperti ‘sejauh satu batu’.

Pemain England perlu berjalan sejauh 240 meter di bawah Stadium Rajko Mitic dengan polis bersenjata berbaris di sepanjang dinding terowong.

Namun Tuchel percaya suasana panas di salah satu stadium paling menakutkan di Eropah itu akhirnya akan membangkitkan aksi terbaik daripada pasukannya selepas lima persembahan mengecewakan sejak beliau mengambil alih.

Pengendali England itu berkata: “Penyokong, suasana dan lawan akan membawa yang terbaik daripada kami, dan saya tak sabar menghadapinya.”

“Laluan terowong itu memang tidak menyenangkan. Tapi inilah realitinya sekarang.”

“Serbia pasukan yang berbakat dan bersemangat tinggi. Inilah keindahannya dan jika anda mahu ke Piala Dunia dan bermain untuk pasukan kebangsaan, mengalami detik-detik sebegini adalah satu keistimewaan. Liga Juara-Juara pun begitu.”

“Ini salah satu malam besar. Lampu sorot menyala. Penonton penuh. Negara yang emosional, fanatik terhadap sukan dan kami bersedia.”

Kapten England, Kane dan pemain tengah Jordan Henderson bercakap dengan rakan sepasukan mereka untuk memberi amaran tentang apa yang bakal dihadapi.

Tuchel menambah: “Jordan akan memainkan peranan penting dalam pasukan. Harry pernah bermain di sini. Mereka sudah bercakap mengenainya.”

“Penyokong akan emosional. Mereka akan bising, tetapi tempat duduk penyokong agak jauh dari padang, jadi kami boleh mengatasinya.”

“Pemain muda kami tidak takut. Mereka tidak takut pada apa pun. Kumpulan ini menunjukkan sikap luar biasa sepanjang minggu ini, dan semua layak untuk bermain. Kami ada beberapa keputusan sukar untuk dibuat, dan beberapa pilihan yang sangat rapat. Bangku simpanan kami akan kuat dan umur bukanlah penentu.”

Kane pernah bermain di stadium ini ketika bersama Tottenham Hotspur, yang menewaskan Red Star Belgrade 4-0 pada 2019 selepas menerima sambutan panas dari penyokong tuan rumah.

Kane berkata: “Saya pernah ke Serbia sebelum ini, kami bermain menentang Red Star di stadium ini bersama Tottenham.”

“Suasananya agak ganas termasuk laluan dari bilik persalinan ke padang. Ia terasa seperti berjalan sejauh satu batu.”

“Terdapat ramai penyokong, anda dengar banyak bunyi, banyak hentakan dan jeritan.”

“Kadang-kadang, apabila anda melalui perlawanan seperti ini bersama-sama, terutama sebagai pasukan yang masih baru dibentuk seperti kami, ia membina pengalaman dan semangat sepasukan.”

“Sudah tentu kami mahu menang dengan selesa, tetapi kami tahu itu tidak selalu berlaku. Jadi akan ada saat-saat kami perlu bertahan bersama, dan akhirnya mencari jalan untuk menang.”

“Apabila anda berjaya melakukannya dalam suasana seperti ini menentang lawan sebegini, ia membentuk satu tahap kesepaduan yang tak mungkin wujud tanpa perlawanan seperti ini.”

Penyokong Serbia mempunyai sejarah panjang melakukan kesalahan seperti itu, dan 15 peratus tempat duduk stadium akan ditutup awal pagi esok sebagai hukuman UEFA atas tindakan perkauman dalam dua perlawanan Liga Negara-Negara menentang Switzerland termasuk cubaan membakar bendera Albania. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here