Home Luar Negara TAUFAN MOCHA LANDA MYANMAR, BANGLADESH

TAUFAN MOCHA LANDA MYANMAR, BANGLADESH

153
0

Kyauktaw, MYANMAR: Taufan Mocha melanda Myanmar dan tenggara Bangladesh semalam, namun tidak menjejaskan kem pelarian tetapi membawa gelombang ribut ke kawasan barat Myanmar yang mana sebahagian besar komunikasi terputus.

Mocha mendarat di antara Cox’s Bazar di Bangladesh dan Sittwe Myanmar dengan angin sehingga 195 kilometer sejam, dalam ribut terbesar yang melanda Teluk Bengal dalam tempoh lebih sedekad.

Menjelang lewat malam, ribut itu sebahagian besarnya berlalu dan menurut pejabat cuaca India, ia akan menjadi lemah apabila melanda bukit di pedalaman Myanmar.

Kira-kira 400 hingga 500 tempat perlindungan sementara rosak di kem yang menempatkan hampir satu juta pelarian Rohingya di Cox’s Bazar Bangladesh tetapi tiada laporan kematian, kata Pesuruhjaya Pelarian, Mizanur Rahman kepada AFP.

Di Teknaf di Bangladesh, sukarelawan bertungkus lumus mengalihkan pokok tumbang dan halangan lain dari jalan raya, kata seorang wartawan AFP.

Pegawai bencana Kamrul Hasan berkata taufan itu tidak menyebabkan kerosakan besar di Bangladesh, sambil menambah pihak berkuasa telah memindahkan 750,000 orang sebelum ribut melanda.

Komunikasi dengan bandar pelabuhan Sittwe di Myanmar sebahagian besarnya terputus berikutan ribut itu, kata wartawan AFP.

Jalan-jalan di bandar yang dihuni kira-kira 150,000 orang itu bertukar menjadi sungai apabila ribut melanda, memusnahkan bumbung bangunan dan memutuskan talian elektrik.

Angin memecah rumah yang diperbuat daripada terpal dan buluh di satu kem untuk pelarian Rohingya di Kyaukphyu di negeri Rakhine Myanmar.

Penduduk cemas melihat air laut yang semakin meningkat, kata ketua kem Khin Shwe kepada AFP.

Taufan Mocha adalah ribut paling kuat melanda Bangladesh sejak Taufan Sidr, menurut Ketua Jabatan Meteorologi Bangladesh, Azizur Rahman.

Taufan Sidr melanda pantai selatan Bangladesh pada November 2007, mengorbankan lebih 3,000 orang dan menyebabkan kerosakan berbilion dolar.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, ramalan yang lebih baik dan perancangan pemindahan yang lebih berkesan telah secara mendadak mengurangkan jumlah kematian akibat ribut berkenaan.

Taufan Nargis memusnahkan Delta Irrawaddy Myanmar pada 2008, mengorbankan sekurang-kurangnya 138,000 orang. Saintis memberi amaran ribut menjadi lebih kuat apabila dunia menjadi lebih panas kerana perubahan iklim. 

Sumber BH Online & AFP

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here