Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Kenaikan tarif elektrik negara ketika ini adalah kesan susulan atau ‘lagging effect’ akibat konflik di Asia Barat yang turut menyebabkan gangguan bekalan tenaga global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, gangguan berkenaan sebelum ini memberi impak kepada pasaran petrol bermula Mac lalu, sebelum kesannya kini merebak kepada sumber tenaga lain termasuk gas asli dan arang batu.
Katanya keadaan itu turut memberi kesan kepada pengguna elektrik dan pemain industri yang menggunakan lebih 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan, berikutan pelarasan kos bahan api menerusi mekanisme Automated Fuel Adjustment (AFA).
“Cuma naik turun yang melibatkan pengguna lebih daripada 600 kWh itu berdasarkan kos bahan api yang dipanggil AFA, yang mencerminkan harga bahan api.
“Itu yang menjadi cabaran kepada kita kerana ‘lagging effect’ daripada gangguan bekalan tenaga yang bermula dengan petrol, kini semakin dirasai bagi bekalan tenaga sektor lain termasuk gas asli.
“Gas asli ini adalah bahan api yang dibakar untuk menghasilkan tenaga. Apabila berlaku kenaikan harga petrol, biasanya akan ada ‘lagging effect’ dalam tempoh tiga hingga empat bulan selepas itu sebelum gas asli turut terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Sumbangan Naik Taraf Klinik Kesihatan Parlimen Johor Bahru di Kampung Melayu Majidee, di sini, hari ini.
Menurut Akmal, kenaikan kos bahan api itu kini mula memberi kesan terhadap kadar penggunaan tenaga bagi tempoh Julai dan Ogos lalu, berikutan bahan api berkenaan digunakan untuk menjana tenaga elektrik.
Bagaimanapun katanya, majoriti pengguna dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600 kWh sebulan tidak menerima impak kenaikan berkenaan secara langsung.
“Cuma sudah pasti kita tahu juga dengan keadaan ketika ini bila cuaca yang kurang baik, maka memang kita nasihatkan untuk kekal di dalam bangunan, dalam tempat yang lebih selamat, tapi itu juga mungkin memberi kesan kepada penggunaan tenaga yang lebih,”katanya.
Menurutnya, masih terdapat ruang untuk kerajaan meneliti mekanisma lain susulan perkembangan kos bekalan tenaga global berkenaan.
Katanya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dijangka mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi menilai, menimbang dan mengambil maklum perkara yang dihadapi rakyat susulan perkembangan berkenaan.
“Cuma sudah pasti mekanisme yang mana Perdana Menteri menilai itu, mungkin ada ruang yang lain kita boleh teliti,” katanya.
IMedikelTV






