Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Pembinaan Klinik Kesihatan Majidee Baharu di sini yang menelan kos sehingga RM80 juta dan dijangka mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata cadangan pembinaan klinik berkenaan sudah diperakukan di peringkat Kementerian Ekonomi sebelum diangkat untuk pertimbangan Kementerian Kewangan menerusi Belanjawan akan datang.
Katanya, lokasi yang dipersetujui adalah tanah milik Kementerian Kesihatan (KKM) di kawasan antara Taman Suria, Majidee Park, Kebun Teh dan Kampung Kurnia.
“Anggarannya kos mungkin mencecah sehingga RM80 juta. Cuma perincian atau jumlah sebenar kita tunggu Belanjawan yang akan dibentangkan nanti.
“Saya sudah meninjau kawasan berkenaan bulan lalu dan mencapai kata sepakat bahawa lokasi itu paling sesuai untuk pembinaan klinik baharu ini.
“Berdasarkan unjuran awal, tempoh pelaksanaan projek itu dijangka merangkumi kerja awal, kajian dan pembinaan yang keseluruhannya mengambil masa kira-kira lima tahun.
“Klinik baharu itu dicadangkan sebagai Klinik Kesihatan Kelas Dua bagi memenuhi keperluan penduduk susulan kepadatan demografi di kawasan Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Sumbangan Naik Taraf Klinik Kesihatan Parlimen Johor Bahru, di Kampung Melayu Majidee, di sini, hari ini.
Klinik Kesihatan Majidee, sudah beroperasi sejak 1971, meliputi kawasan dengan 198,114 penduduk dan mengendalikan sekitar 600 pesakit sehari.
Pada masa ini, perkhidmatan pesakit luar serta kesihatan ibu dan anak beroperasi di dua blok yang terpisah kira-kira 200 meter, sekali gus menjejaskan kelancaran aliran pesakit dan penyampaian perkhidmatan secara bersepadu.
Dalam perkembangan sama, Akmal berkata, Pejabat Parlimen Johor Bahru hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM169,000 kepada lima klinik kesihatan dalam kawasan Parlimen berkenaan.
Ia membabitkan Klinik Kesihatan Kampung Melayu Majidee, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Majidee, Klinik Kesihatan Tebrau, Klinik Kesihatan Larkin dan Klinik Desa Antoi.
“Sumbangan ini adalah sumbangan berterusan. Tahun lalu pun kita ada membantu dan harapannya adalah untuk memudahkan lagi pengoperasian di klinik masing-masing, termasuk dari segi keselesaan pengguna yang mendapatkan perkhidmatan di sana.
“Ada klinik yang akan menerima penghawa dingin, manakala ada yang lebih kepada peralatan dan kelengkapan untuk petugas kesihatan.
“Keperluan kemudahan awam perlu bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi negeri. Pada 2025, ekonomi Johor berkembang 8.0 peratus kepada RM170.9 bilion, manakala RM59.4 bilion pelaburan diluluskan direkodkan dalam separuh pertama 2026,” katanya.
IMedikel TV






