Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
BACHOK: Tidak sangka akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 kerana pada awalnya dia hanya sekadar suka-suka menyertai pertandingan memancing di Parit Tali Air Sungai Seneng di sini, semalam.
Hidayatullah Abdul Rahim, 30, dari Tok Bali, dinobatkan sebagai juara pertandingan itu sebaik sahaja memperoleh ikan keli pada saiz 2.5gram pada minit ke 9.15 pagi sejurus pertandingan itu bermula pada jam 9 pagi.
“Saya hanya sekadar suka-suka sahaja memancing namun sama sekali tidak menyangka bahawa ikan keli yang saya dapat adalah paling besar kerana saya dapati saiz ikan itu sangat kecil tapi itu la yang paling besar berbanding yang lain.

“Alhamdulillah saya bersyukur, mungkin ini juga menjadi rezeki buat anak-anak, isteri dan keluarga saya,”katanya kepada pemberita selepas Pertandingan Memancing di Parit Tali Air Sungai Seneng di sini, hari semalam.
Menurut Hidayat, dia mengalami kesukaran ketika memancing apabila joran yang digunapakai kerap kali tersangkut pada daun di dalam sungai berkenaan.
Tambahnya, umpan seperti cacing dan hati ayam sering kali digunakan oleh Hidayat setiap kali memancing.
Seorang lagi pemenang hadiah motosikal Modenas bagi kategori cabutan bertuah, Zulhusni Mohd Yunus, 36, dari Pengkalan Chepa, berkata, tuah itu merupakan kali pertama yang berpihak kepadanya sepanjang menyertai pertandingan memancing.

“Saya tidak berharap untuk dapat hadiah cabutan bertuah motosikal ini, sebab sebelum ini saya tidak pernah bertuah dalam mana-mana cabutan bertuah, namun alhamdulillah kali ini saya dapat sebuah motosikal Modenas berwarna kuning.
“Tidak tahu nak diungkap macam mana, namun perasaan gembira, berdebar semua ada, ini rezeki paling bermakna buat tahun ini,”katanya.
Menurut Zulhusni, dia juga mendapat tempat ke-47 dalam pertandingan itu dengan memperoleh wang tunai RM150.
“Motor yang saya dapat ini inshaallah saya akan bagi pada adik saya dan juga untuk kegunaan keluarga,”katanya.
Imedikel TV






