Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai diingatkan supaya lebih berhati-hati serta mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan kebimbangan terhadap peningkatan taburan hujan yang dijangka berlaku dalam tempoh dua bulan terakhir tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Syahbuddin Hashim, berkata walaupun persiapan menghadapi musim banjir di kawasan Gua Musang sudah dilakukan secara menyeluruh, kemungkinan berlakunya banjir tetap tinggi jika hujan lebat turun dalam tempoh singkat.

“Kita di Gua Musang tahu ada kawasan-kawasan yang memang terdedah kepada musibah banjir. Dari segi persiapan, kita sudah pun bersiap siaga sepenuhnya.
“Namun kebimbangan kita ialah taburan hujan tahun ini masih belum mencapai 60 peratus. Jika hujan turun dengan lebat dalam tempoh singkat, potensi banjir amat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Program Taklimat Belanjawan 2026 dan Taklimat Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana, di Dewan Semai Bakti, Felda Chiku 3, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor, Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, JaPen Kelantan, Hasim Mohamed dan Pegawai Penerangan Daerah Gua Musang, Norhayati Shamsu Anuar.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar tidak mengambil tindakan sendiri ketika bencana berlaku.
“Saya nasihatkan supaya rakyat yang tinggal berhampiran sungai atau di kawasan rendah sentiasa berhati-hati dan patuh kepada arahan pihak berkuasa. Jangan bertindak sendiri ketika banjir berlaku,”katanya.
Menurut beliau, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan berkenaan juga sudah dikenal pasti dan banyak daripadanya sudah dinaik taraf bagi menampung mangsa banjir sekiranya bencana berlaku.
“Kita juga bimbang dengan kawasan pembinaan jajaran Central Spine Road (CSR) kerana berpotensi berlaku banjir kilat disebabkan penambakan jalan baharu.
“Saya harap pihak berwajib sudah mengambil tindakan awal bagi mengelak keadaan ini,” katanya.
Sementara itu, Muhd Nor Aswadi, berkata taklimat berkenaan diadakan bagi menyampaikan maklumat awal kepada 135 komuniti Madani di seluruh Kelantan mengenai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

“Kita mahu maklumat ini sampai lebih awal kepada masyarakat melalui komuniti Madani, khususnya dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut yang biasanya berlaku antara Oktober hingga Mac,” katanya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya peka terhadap arahan pihak berkuasa, sama ada melalui media rasmi kerajaan, media sosial, portal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) atau agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, JaPen Kelantan sudah bersedia dengan unit bergerak di seluruh jajahan, yang akan digerakkan apabila menerima arahan daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB).
“Apabila mendapat arahan, kita akan gerakkan unit bergerak untuk buat hebahan, supaya masyarakat di kawasan berisiko segera berpindah,” katanya.
IMedikel TV






