Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kelahiran anak adalah suatu yang dinantikan bagi setiap pasangan suami isteri, namun tiada siapa sangka ujian yang bakal mereka tempuhi apabila anak yang disayangi diciptakan “istimewa”.
Itu yang dihadapi sepasang suami isteri Rosli Mat Nawi, 48, dan Norziana Mustapha, 48, dari Kampung Demit Sungai, Kubang Kerian, di sini, apabila tiga daripada empat anak mereka yang dilahirkan normal ditakdirkan terlantar disebabkan penyakit Sindrom Leigh’s atau gangguan sistem saraf pusat.
Namun, yang menyedihkan lagi mereka sudah kehilangan anak kedua, Nur Farah Afiqah Rosli yang meninggal dunia sejak tiga tahun lalu ketika berusia 14 tahun.

“Anak kedua kami meninggal pada 19 Jun 2022 akibat penyakit gangguan sistem saraf pusat.
“Namun, selepas itu kami terus diduga apabila dua anak lelaki kami turut menerima nasib sama seperti arwah kakak mereka,”katanya.
Rosli berkata dua anaknya, Ahmad Haziq Rayyan, 12, dan Ahmad Hariz, 13, yang turut disahkan menghidap penyakit sama kini terlantar serta perlu diuruskan seperti bayi.
“Sebelum dia terlantar serta tidak boleh bercakap, Ahmad Hariz disahkan menghidap penyakit itu ketika dia berusia lapan tahun selepas mengalami kekejangan pada bahagian lengan sebelah kiri.
“Dia terpaksa berhenti sekolah Ketika Tahun Dua. Sebelum ini Ahmad Hariz seorang yang sangat aktif selain menjadi pelajar harapan sekolah, namun terpaksa menamatkan persekolahannya.
“Manakala adiknya, Ahmad Haziq Rayyan, pula diserang penyakit sama pada usia empat tahun setengah selepas mengalami kekejangan pada bahagian lengan sebelah kanan serta hilang keseimbangan badan selama lima tahun sebelum dia terlantar dan tidak boleh bercakap,” katanya.
Rosli yang juga seorang penjawat awam, berkata dua anaknya yang kembali seperti “bayi” kini diuruskan olehnya dan isteri.
“Sejak kedua anak kami menghidap penyakit itu, saya perlu membantu isteri menguruskan keperluan mereka terlebih dahulu sebelum keluar bekerja memandangkan isteri saya mengalami masalah saraf mata sejak 19 tahun lalu yang menyebabkan penglihatannya kabur.
“Kebiasaannya isteri saya akan bangun seawal jam 5 pagi untuk menyiapkan semua kerja rumah disebabkan kedua-dua anak kami memerlukan perhatian dan tidak boleh ditinggalkan sendirian,”katanya.
Katanya, jauh di sudut hati dia dan isteri ingin melihat kedua anak mereka sembuh seperti sediakala, namun reda dengan kententuan Allah.

Menurut Rosli bagi memastikan tahap kesihatan Ahmad Hariz dan Ahmad Haziq Rayyan dalam keadaan stabil, mereka perlu menghadiri temujanji doktor pakar di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian setiap enam bulan sekali.
Katanya, setiap bulan dia perlu membelanjakan lebih RM2,000 untuk membeli keperluan kedua anak mereka termasuk susu, ubat-ubatan dan juga lampin pakai buang,
“Bagaimana pun saya bersyukur kerana mereka berdua mendapat wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 setiap seorang yang boleh digunakan untuk membeli keperluan mereka sekaligus mengurangkan sedikit beban yang kami tanggung,” katanya.
Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya terus ke akaun CIMB bernombor 7621381830 (Rosli Mat Nawi) atau boleh menghubunginya di talian 012-9609857.
IMedikel TV






