TRAT: Hidupan akuatik seperti terumbu karang hingga ikan di pantai Teluk Timur Thailand berpotensi terkesan apabila suhu permukaan laut mencecah paras tertinggi bulan ini.
Saintis berkata, batu karang yang dahulunya dilihat berwarna-warni pada jarak kira-kira lima meter di bawah air, kini bertukar menjadi putih, fenomena yang dikenali sebagai pelunturan karang, sebagai tanda kesihatan hidupan itu semakin merosot disebabkan suhu air yang lebih tinggi.
Awal bulan ini, suhu permukaan laut di Teluk Timur Thailand mencecah 32.73 darjah Celcius, manakala bacaan dalam air sedikit lebih panas, dengan peralatan menyelam menunjukkan ia di paras sekitar 33 darjah Celcius.
“Saya tidak dapat menjumpai satu karang yang sihat.
“Hampir semua spesies sudah dilunturkan, terdapat sangat sedikit yang tidak terjejas,” kata ahli biologi marin, Lalita Putchim dari Jabatan Sumber Laut dan Pantai (DMCR) selepas selesai menyelam di pantai teluk.
Kepulauan Trat adalah rumah kepada lebih 66 pulau, dengan lebih 28.4 kilometer persegi (2,841 hektar) terumbu karang, di mana Lalita mendapati sehingga 30 peratus daripada hidupan karang mengalami pelunturan dan lima peratus daripadanya sudah pun mati.
“Sekiranya suhu air tidak sejuk, lebih banyak batu karang akan mati.
“Ia kepanasan tinggi global, bukan sekadar pemanasan global,” katanya. – REUTERS, BH Online –
IMEDIKEL TV






