BURNLEY, England: Mauricio Pochettino menggesa Raheem Sterling membuktikan bos England, Gareth Southgate silap selepas penyerang Chelsea itu mencetus inspirasi kemenangan besar 4-1 ke atas Burnley lewat malam tadi.
Sterling diketepikan daripada skuad England bagi aksi persahabatan berdepan Australia dan kelayakan Euro 2024 menentang Itali minggu depan.
Bekas bintang Manchester City itu tidak bermain buat England sejak Piala Dunia di Qatar tahun lalu dan Southgate memilih untuk mengetepikannya daripada dua skuad terakhir.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Southgate mempunyai banyak pilihan bagi jentera serangan England, namun Sterling memperagakan kualiti dimilikinya untuk membantu Chelsea menang di Turf Moor selepas pemain remaja Perancis, Wilson Odobert menyumbat gol pembukaan buat The Clarets.
Hantaran silang Sterling ditampan masuk pertahanan Burnley, Ameen Al Dakhil bagi gol penyamaan dan dia turut memenangi sepakan penalti yang disudahkan oleh Cole Palmer.
Dia sendiri menjaringkan gol dengan penamat tenang pada minit ke-65 sebelum turut membantu dalam gerakan gol keempat jaringan Nicolas Jackson.
“Saya fikir seorang pemain berpengalaman tahu dia perlu bertindak cemerlang dan menunjukkan kepada pengurus pasukan kebangsaan beliau silap dengan keputusannya,” kata Pochettino.
“Hanya dengan persembahan bagus dan menjaringkan gol dia boleh membuktikan dia berhak dipanggil.”
Pochettino turut bergembira dengan Chelsea mencatat kemenangan liga berturut-turut buat kali pertama sejak Mac lalu dan menjaringkan empat atau lebih gol buat kali pertama sejak membenam Southampton 6-0 pada April 2022.
Selepas permulaan bermasalah, Pochettino kini menyaksikan tiga kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan sekali gus mengendurkan sedikit tekanan buatnya dan pasukan. – AFP-AGENSI-Berita harian online-
Imedikel TV






