BEIJING: Pempengaruh media sosial China yang dikenali sebagai “Sister Orange” dilaporkan hilang di Kemboja selepas gagal dihubungi keluarganya sejak 12 November lalu, tarikh dia sepatutnya kembali ke China.
Memetik laporan The Standard, pencipta kandungan Douyin berusia 26 tahun itu dilaporkan pergi ke Kemboja pada awal bulan ini untuk melawat teman lelakinya, “Brother Long” yang mendakwa mengendalikan sebuah hotel di Sihanoukville.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, kedua-dua individu berkenaan gagal dihubungi selama lebih 48 jam dengan telefon bimbit mereka didapati dimatikan.
Hubungan teman lelakinya dengan Sihanoukville iaitu sebuah kawasan yang terkenal dengan operasi penipuan telekomunikasi menimbulkan persoalan mengenai aktiviti sebenar yang dijalankannya.
Sementara itu, memetik laporan VnExpress, kehilangan wanita itu menimbulkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan keluarga dan lebih 120,000 pengikutnya di platform Douyin.
Pihak berkuasa di China tidak menemukan sebarang rekod ketibaannya melalui kastam pada 13 November walaupun dia sebelum ini memaklumkan kepada pengikutnya bahawa dia merancang untuk pulang tidak lama lagi.
Keluarga berkata, wanita itu kelihatan stabil daripada segi emosi sebelum perjalanan dan tidak mempunyai sebarang konflik dengan saudara-mara atau rakan-rakan.
Mereka mengeluarkan amaran orang hilang di Douyin dan Weibo serta berhasrat mendapatkan bantuan daripada kedutaan China di Kemboja dan Kementerian Hal Ehwal Luar China.
Peminat juga melancarkan usaha pendanaan awam bagi menyokong operasi pencarian.
Ramai pengulas dalam talian bimbang Wanita itu mungkin berada dalam bahaya terutamanya berikutan kecurigaan berterusan mengenai dakwaan perniagaan teman lelakinya di Sihanoukville. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






